logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

Memorandum Persefahaman KPT-PUNB: Ikhtiar Strategik Melonjakkan Kebolehpasaran Graduan Bumiputera


Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkukuh jalinan kerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menerusi Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding – MoU) dalam bidang penyelidikan, pembangunan keusahawanan dan kebolehpasaran graduan bumiputera.

Kolaborasi yang dimeterai ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan, khususnya dalam kalangan graduan bumiputera. Selain itu, usaha sama yang dijalin juga dilihat sebagai sinergi strategik antara KPT dan PUNB dalam melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan bumiputera.

Sebagai langkah rintis, 500 graduan bumiputera akan dilatih melalui program EntreprenuerMOHE@PUNB “Empowering Business Through Digitalisation” selama tempoh tiga bulan. Program jangka pendek ini memberikan tumpuan kepada aspek latihan pengurusan dan kepimpinan; kewangan; aset dan stok; serta bimbingan teknikal bagi pengukuhan kemahiran dalam pemasaran digital yang amat diperlukan oleh perniagaan masa kini. Melalui program ini juga, PUNB turut menyediakan khidmat nasihat pakar berkaitan perniagaan kepada peserta melalui BizKonsultansi yang boleh diakses secara dalam talian oleh peserta.

Pelbagai faedah lanjutan bakal diperoleh oleh peserta yang berjaya menamatkan latihan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Ini termasuklah bimbingan pembentangan rancangan perniagaan atau pitching serta peluang untuk menyertai Program JUMPER PUNB selama lapan bulan bersama-sama mentor usahawan mengikut bidang dan industri berkaitan. Usaha sama dengan PUNB ini juga unik kerana pada akhir program, peserta turut ditawarkan pembiayaan oleh PUNB dan institusi kewangan terpilih untuk mereka memulakan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

MoU ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha KPT dan YBrs. Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB dengan disaksikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi dan YB Tan Sri Noh Omar, Pengerusi PUNB.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
18 November 2020

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6396
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 18 April 2024, 14:41:25.