logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN KETUA PENGARAH JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI BAHARU


Sukacita dimaklumkan bahawa YBrs. Ts. Zainab binti Ahmad dilantik sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pengajian Tinggi yang baharu, berkuatkuasa mulai 5 Januari 2021.

Ts. Zainab, 58 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Elektrik Kuasa), Universiti Putra Malaysia (2002) dan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal), Loughborough University, United Kingdom (1985). Beliau merupakan wanita pertama menjawat jawatan Ketua Pengarah JPPKK.

Beliau telah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) di JPPKK, selain menjadi Pengarah pertama Kolej Komuniti Hulu Langat. Selain itu, beliau turut berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Dasar dan Pembangunan Ko-Kurikulum, JPKK. Beliau juga pernah menanggung kerja jawatan Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, dan setelah dinaikkan pangkat dan penggabungan bersama Pendidikan Politeknik, beliau ditugaskan sebagai Pengarah Kanan (Akademik) di JPPKK.

Antara sumbangan beliau dalam negara dan antarabangsa termasuklah menjadi wakil Malaysia di World Education Forum and Malaysia TVET Study to UK, British High Commission, London dan Scotland, United Kingdom (2018) dan di 4th EAS TVET Providers’ Network Conference and KRIVET-UNEVOC-OVEC Capacity Building Workshop di Bangkok, Thailand (2017). Beliau juga merupakan Ahli Majlis Akreditasi Kejuruteraan Teknologi (Engineering Technology Accreditation Council), Lembaga Jurutera Malaysia dan Professional Technologist, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

Saya yakin berdasarkan dengan pengalaman luas beliau dalam bidang pentadbiran, khususnya di JPPKK, beliau dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau dalam mengekalkan kegemilangan JPPKK sebagai peneraju komuniti berilmu dan berkemahiran unggul di dalam negara dan antarabangsa.

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi
6 Januari 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan YBrs. Ts. Zainab binti Ahmad Sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (91 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 10086
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.