logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PELANTIKAN YBHG. PROF. DATO’ DR. HUSAINI BIN OMAR SEBAGAI KETUA PENGARAH PENDIDIKAN TINGGI YANG BAHARU


Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT) yang baharu, berkuat kuasa mulai 1 Februari 2021 sehingga 9 Mac 2023. Beliau menggantikan YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak yang telah bersara wajib pada 10 Januari lalu.

Prof. Dato’ Dr. Husaini, 57 tahun, berkelayakan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Geologi) daripada Universiti Malaya (UM) pada tahun 1988 dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Geologi dari University of Leeds, United Kingdom pada tahun 1994. Beliau seterusnya memperoleh Doctor of Engineering (System Engineering) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2002.

Beliau mempunyai pengalaman industri selama lapan (8) tahun sebagai jurutera geologi sebelum memulakan karier sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 1996. Beliau meniti kejayaan akademik dan pentadbiran sehingga dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM pada 15 Februari 2017 sebelum menjawat jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 Januari 2018 sehingga 6 Januari 2019. Beliau seterusnya menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dari 1 Jun 2020 sehingga 31 Januari 2021.

Prof. Dato’ Dr. Husaini telah menerbitkan lebih 200 buah penerbitan dalam bentuk jurnal, prosiding, buku, dan laporan teknikal hasil daripada penyelidikan yang dijalankan. Beliau juga telah menyelia lebih 20 orang pelajar pasca siswazah dan sebahagian daripada hasil penyelidikan beliau telah dipatenkan di Malaysia dan Amerika Syarikat.

Saya percaya berbekalkan kepakaran, pengalaman dan pencapaian yang cemerlang, Prof. Dato’ Dr. Husaini akan terus melonjakkan prestasi pendidikan tinggi negara selaras dengan hasrat yang diaspirasikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015 – 2025.

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak atas segala jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang tempoh beliau menerajui Jabatan Pendidikan Tinggi sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi.

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi
29 Januari 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pelantikan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar Sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Yang Baharu (375 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 17318
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.