Hebahan

Maklumat hebahan terkini kementerian
logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENGOPERASIAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SEMASA TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (1 JUN 2021 HINGGA 14 JUN 2021)


Susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ingin memaklumkan mengenai pengoperasian Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negara sepanjang tempoh tersebut.

KEBERADAAN PELAJAR

  1. Pelajar berkeperluan yang telah berada di kampus diminta untuk terus kekal berada di kampus.
  2. Bagi pelajar berkeperluan yang masih belum pulang ke kampus diminta untuk menangguhkan pergerakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Pelajar perlu kekal berada di lokaliti masing-masing dan meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.
  3. Pelajar perlu berada di dalam kampus dan hanya dibenarkan keluar dengan kebenaran pengurusan IPT dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

  1. Semua aktiviti PdP secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.
  2. Aktiviti penyelidikan yang melibatkan kemudahan makmal dan peralatan khas yang berkeperluan sahaja dan secara individu adalah dibenarkan dengan kebenaran ketua jabatan mengikut SOP yang ketat.
  3. Pihak IPT bertanggungjawab untuk memastikan SOP dipatuhi oleh semua pelajar berkenaan.
  4. Pelajar luar kampus yang terlibat dengan aktiviti penyelidikan yang memerlukan kemudahan makmal dan peralatan khas, perlu mendapatkan surat kebenaran keluar masuk kampus dari IPT masing-masing.

KEHADIRAN STAF AKADEMIK DAN BUKAN AKADEMIK

  1. 100% Bekerja Dari Rumah (BDR). Kehadiran ke pejabat hanya boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR.
  2. Kehadiran staf akademik dan bukan akademik bagi semua IPT hendaklah tidak melebihi 20% dan penggiliran kakitangan adalah bagi tempoh maksimum 4 jam sahaja.
  3. Staf akademik dan bukan akademik tidak dibenarkan hadir ke pejabat kecuali untuk perkhidmatan perlu dengan disertai dokumen arahan rasmi daripada IPT masing-masing dan pas pekerja.
  4. Semua mesyuarat dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan. Tiada perjumpaan atau aktiviti secara fizikal.

PELAKSANAAN AKTIVITI PELAJAR

  1. Semua aktiviti pelajar termasuk kelab, persatuan dan ko-kurikulum yang dilaksanakan secara bersemuka dan berkumpulan adalah tidak dibenarkan.
  2. Semua aktiviti sosial, keagamaan, ekonomi, sukan dan rekreasi secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan.
  3. Aktiviti sukan dan rekreasi yang dilakukan secara individu di kawasan terbuka tanpa bersentuhan fizikal terhad kepada joging dan senaman sahaja dengan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 hingga 3 meter tertakluk kepada arahan kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.
  4. Pelaksanaan program/aktiviti pelajar adalah secara dalam talian atau platform digital yang bersesuaian.

PENGOPERASIAN SEKTOR PERKHIDMATAN PERLU (ESSENTIAL SERVICES), FASILITI DAN KAFETERIA DI KAMPUS

  1. Perkhidmatan perlu seperti bank, farmasi, kedai runcit, dobi dan kafeteria dibenarkan beroperasi mengikut SOP dan masa yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
  2. Bagi perkhidmatan kafeteria, penyediaan makanan adalah secara pack food sahaja.
  3. Penggunaan fasiliti guna sama di asrama dan kampus perlu dipantau bagi memastikan penguatkuasaan SOP.

PELAKSANAAN PEPERIKSAAN ANTARABANGSA DAN BADAN PROFESIONAL

  1. Pelajar yang menduduki peperiksaan antarabangsa atau badan profesional dibenarkan tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat.
  2. Penjadualan peperiksaan antarabangsa dan badan profesional ini diuruskan sepenuhnya oleh organisasi profesional dan antarabangsa.
  3. IPT hanya membuat penyelarasan dari segi kemudahan fasiliti sahaja. Sebarang perubahan dari segi penjadualan adalah tertakluk kepada organisasi tersebut.

KEMASUKAN PELAJAR ANTARABANGSA

  1. Kemasukan pelajar antarabangsa tertakluk kepada SOP sedia ada yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dari semasa ke semasa.

Kementerian prihatin dan menyedari kepentingan dalam memastikan keperluan program pengajian pelajar IPT berjalan dengan sempurna walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

Para pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian IPT dalam tempoh PKP melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/ 6623/ 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
31 MEI 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media IPT Semasa Perintah Kawalan Pergerakan 1 Jun - 14 Jun 2021 (200 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3233
Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi © Hak Cipta Terpelihara
Kemaskini terakhir: Isnin 21 Jun 2021, 14:12:15.