Logo KPM

KENYATAAN MEDIA

PENGUATKUASAAN AKTA INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI SWASTA 1996 [AKTA 555]

PUTRAJAYA, 6 SEPTEMBER – Sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bertaraf kolej di Melaka telah dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 38(2) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] kerana mengendalikan kursus pengajian tanpa kelulusan Ketua Pendaftar IPTS. IPTS tersebut telah mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda RM35,000.00 oleh Mahkamah Sesyen Melaka.

Ini merupakan kes kedua pendakwaan bagi kesalahan di bawah peruntukan Seksyen tersebut bagi tahun ini di mana pada Mac 2018, sebuah IPTS bertaraf kolej di Sabah juga telah didakwa di bawah kesalahan yang sama.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari sehingga Jun 2018, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Inspektorat (BPI) telah mengeluarkan lebih 60 notis kompaun dengan nilai melebihi RM1 juta kepada beberapa buah IPTS kerana pelbagai jenis kesalahan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555].

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia berharap tindakan undang-undang yang telah diambil menjadi pengajaran kepada institusi-institusi pendidikan tinggi swasta yang lain untuk akur dan patuh terhadap peruntukan yang digariskan melalui Akta berkenaan.

Info Tambahan

LATAR BELAKANG

  1. Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) adalah untuk mengawal selia ehwal penubuhan, pendaftaran, pengurusan (penawaran kursus, tenaga pengajar dsb) dan penutupan IPTS.

  2. Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Bahagian Penguatkuasaan & Inspektorat (BPI) bertanggungjawab untuk memantau perkhidmatan IPTS bagi memastikan pengoperasiannya selaras dengan dasar Kementerian serta mematuhi segala peruntukan perundangan yang termaktub di dalam Akta 555.

  3. Selaras itu, Jabatan ini bertanggungjawab menjalankan penyiasatan dan pemeriksaan terhadap aduan dan laporan ketidakakuran IPTS dengan mengambil tindakan perundangan yang bersesuaian dengan peruntukan Akta 555 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

  4. Aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan 99 Seksyen yang diperuntukkan di dalam Akta 555. Terdapat sebanyak 29 jenis kesalahan yang boleh dikenakan tindakan kompaun dan 7 kesalahan dikategorikan sebagai kesalahan yang membolehkan tindakan pendakwaan.

  5. Akta 555 memperuntukkan jumlah denda antara RM10,000.00 sehingga RM200,000.00 dan hukuman penjara bagi tempoh tertentu apabila disabitkan kesalahan bergantung pada kategori kesalahan

MAKLUMAT TINDAKAN PENGUATKUASAAN

  1. Trend penerimaan aduan dan kes-kes pelanggaran Akta masih tinggi bagi tempoh 2014 – 2018 (sehingga Jun 2018). Aduan tertinggi direkodkan pada tahun 2017, iaitu sebanyak 319 atau purata 26.5 aduan / bulan (rujuk Jadual 1). Bagi separuh tahun pertama 2018, purata aduan yang diterima BPI tidak menunjukkan perbezaan yang besar, namun aduan yang melibatkan pelanggaran Akta telah meningkat kepada 126% berbanding tahun 2017. Ini menyebabkan jumlah kes siasatan pelanggaran Akta 555 turut meningkat dengan sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka (sehingga 30 Jun 2018).

    Jadual 1: Bilangan Aduan, Kertas Siasatan, Kompaun dan Pendakwaan bagi Tempoh 2014 – Jun 2018
    TahunBilangan aduan diterima BPIBilangan aduan melibatkan pelanggaran aktaBilangan kertas siasatan dibukaBilangan notis kompaun dikeluarkanPendakwaan kes
    2014 161 108 44 51 1
    2015 294 73 41 55 0
    2016 263 92 35 112 0
    2017 319 57 18 25 1
    2018 (Jun) 150 72 37 61 2
  2. Selain itu, statistik sejak tahun 2014 menunjukkan jumlah kes yang melibatkan pelanggaran Akta oleh semua kategori IPTS meningkat. Kolej merupakan kategori IPTS terbesar dikenakan tindakan kompaun kerana pelbagai jenis kesalahan di bawah Akta 555. Malahan pada tahun 2018, pengeluaran notis kompaun ke atas semua kategori institusi turut menunjukkan peningkatan kecuali bagi kategori Kampus Cawangan Luar Negara (Rajah 1).

    Rajah 1 : Bilangan IPTS dikenakan kompaun bagi 2014 - Jun 2018
    Rajah 1 : Bilangan IPTS dikenakan kompaun bagi 2014 - Jun 2018
  3. Statistik ini menunjukkan bahawa tahap ketidakpatuhan IPTS terhadap peruntukan Akta 555 semakin membimbangkan. Hal ini memerlukan tindakan penguatkuasaan dijalankan secara lebih berkesan di semua peringkat proses kerja Jabatan sama ada di peringkat pemantauan, siasatan dan tindakan perundangan.

  4. Oleh yang demikian, sebagai langkah penghalang (deterrent), maklumat ketidakakuran IPTS ini perlu dimaklumkan kepada umum. Tindakan ini juga merupakan strategi bagi meningkatkan kepekaan IPTS terhadap peruntukan perundangan yang perlu dipatuhi serta keseriusan Kerajaan dalam menangani isu kualiti perkhidmatan IPTS.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 19868
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.