logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENGURANGAN YURAN PELAJAR DI UNIVERSITI AWAM SEPANJANG PANDEMIK COVID-19


Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa mendengar dan memahami keluh kesah para ibubapa dan pelajar yang terkesan sepanjang setahun pandemik COVID-19 yang mencabar ini. Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) melalui Surat Edaran bertarikh 22 Mac 2021 telah meminta Universiti Awam agar memberikan kelonggaran dan pertimbangan sewajarnya terhadap tuntutan bayaran yuran, terutamanya kepada pelajar yang terjejas dan menghadapi masalah kewangan.

Bagi meringankan bebanan pelajar, Universiti Awam telah melaksanakan beberapa inisiatif, antaranya, melalui pengurangan Yuran Perkhidmatan, Yuran Asrama, Yuran Konvokesyen dan Yuran Aktiviti Kolej di antara purata 10% sehingga 35% bermula Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 sehingga hari ini. Pengurangan yuran bagi Semester Kedua Sesi Akademik 2019/2020 untuk semua pelajar warganegara Malaysia melibatkan peruntukan sebanyak RM75 juta yang mana RM20 juta merupakan peruntukan tambahan Kerajaan dan RM55 juta menggunakan sumber dalaman UA.

Bagi Semester Pertama Sesi Akademik 2020/2021, pengurangan yuran sebanyak RM70.2 juta diberikan oleh Universiti Awam. Manakala, bagi Sesi Kedua Sesi Akademik 2020/2021 pula pengurangan sebanyak RM40.5 juta telah diberikan. Inisiatif ini telah melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM185.7 juta bagi manfaat 386,142 orang pelajar bagi ketiga-tiga semester.

Langkah-langkah yang telah diambil ini jelas memperlihatkan keprihatinan Kerajaan dalam menangani bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelajar dan ibubapa. Kementerian juga berpandangan bahawa kadar pengurangan yuran yang dinyatakan adalah munasabah memandangkan 20 UA ini terpaksa menanggung kos operasi yang tinggi dengan menggunakan sumber peruntukan dalaman universiti susulan penurunan penjanaan pendapatan menerusi yuran pelajar selain pengurangan peruntukan mengurus oleh Kerajaan berikutan pandemik yang dihadapi kini.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
16 JULAI 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pengurangan Yuran Pelajar di UA Sepanjang Pandemik Covid 19 (36 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 11119
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:23:36.