logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENJANA KPT-CAP : Peruntukan RM100 Juta Bagi Menangani Isu Kebolehpasaran Graduan


Bagi menangani isu kebolehpasaran graduan, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta melalui Program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (KPT-CAP). Seramai 20,000 orang graduan dijangka mendapat manfaat menerusi program PENJANA KPT-CAP melalui penawaran pekerjaan oleh pemain industri dalam sektor seperti perbankan, perkilangan dan Information and Communications Technology (ICT).

Di bawah inisiatif upskilling dan reskilling, program PENJANA KPT-CAP memberi fokus kepada pengurangan kadar graduan menganggur serta membantu meningkatkan kemahiran dan skil bagi melahirkan graduan yang berketrampilan untuk memenuhi pasaran kerja yang bersesuaian. Penularan pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada industri dan ekonomi termasuklah menjejaskan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam negara.

Terdapat tiga (3) teras utama di bawah inisiatif upskilling dan reskilling iaitu :

  • Job Matching and Placement iaitu program latihan kompetensi bersasar kepada peserta sebelum memulakan pekerjaan yang ditawarkan oleh industri;
  • Keusahawanan iaitu program latihan yang mensasarkan penubuhan syarikat pemula dan berupaya mendapatkan bantuan pembiayaan kewangan; dan
  • Gig Economy iaitu program latihan berkompetensi yang mampu membantu peserta untuk menjana pendapatan melalui gig economy atau aktiviti berbentuk freelancing.

Pelaksanaan dan pemantauan program akan bermula pada 16 Oktober 2020 sehingga 31 Disember 2020 di 20 buah universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih manakala penempatan pekerjaan bagi peserta program pula bermula pada 1 Januari 2021.

Penyertaan program bagi graduan yang berminat adalah melalui Portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT). Portal GREaT akan menjadi gerbang laluan sehenti kepada para graduan untuk mendapatkan perkhidmatan daripada pelbagai portal penyedia perkhidmatan berkaitan kebolehpasaran termasuk menawarkan perkhidmatan dalam talian bagi permohonan program-program peningkatan kemahiran dan keusahawanan serta menjadi hab informasi mengenai keusahawanan, peluang melanjutkan pengajian dan pembiayaan pengajian. Portal ini boleh dilayari melalui pautan http://great.mohe.gov.my.

KPT komited melaksanakan program PENJANA KPT-CAP bagi memastikan pembangunan ekonomi negara terus berkembang melalui graduan yang berkualiti dan berinovasi. Pihak industri berperanan untuk memberi pendedahan peluang kerjaya kepada graduan seperti mengintegrasikan kepakaran, infrastruktur, teknologi dan kemudahan bagi melengkapkan graduan ke pasaran pekerjaan.

DATO’ DR. NORAINI AHMAD
Menteri Pengajian Tinggi
28 September 2020

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 11755
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.