logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PERGERAKAN PELAJAR INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (IPT) PULANG SEMPENA CUTI PERAYAAN AIDILFITRI 2021


Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada 28 April 2021 telah bersetuju untuk membenarkan pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aildilfitri kecuali negeri Sarawak.

Para pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut. Kebenaran ini adalah selaras dengan kelonggaran yang diberikan oleh MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan.

KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal. Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 – 12 Mei 2021, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 – 20 Mei 2021.

Pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri/daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga (3) kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT. Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan.

Pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam (6) kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

Para pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my. Para pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628. Semua pihak mestilah mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa sehingga arahan terkini berhubung perkara ini dimaklumkan.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
29 APRIL 2021

Muat Turun:

  1. pdf Kenyataan Media Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 (format .pdf) (274 KB)
  2. pdf FAQ - Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri 2021 (format .pdf) (224 KB)
  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 29030
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 11:52:58.