Pesanan Kepada Pelajar Institut Pengajian Tinggi Berikutan Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3

Pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) khususnya bagi mereka yang masih berada di kampus, merupakan antara golongan yang terkesan berikutan keputusan Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020. Keputusan ini dibuat berdasarkan pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar usaha-usaha pembendungan wabak COVID-19 terus dipertingkatkan.

Sehingga kini, usaha Kerajaan dalam menangani wabak ini dengan melaksanakan PKP Fasa 1 dan 2 telah menunjukkan tanda-tanda kejayaan. Berdasarkan rekod KKM pada 11 April 2020, peratusan kes positif COVID-19 ialah pada kadar 6.3%, iaitu lebih rendah daripada penanda aras 10% yang ditetapkan oleh WHO. Kadar kematian akibat wabak ini juga berada pada tahap rendah, iaitu 1.6% berbanding 5.8% kadar kematian dunia.

Ketika ini, terdapat hampir 80,000 pelajar yang berada di kampus masing-masing susulan pelaksanaan PKP Fasa 1 dan 2. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) amat prihatin terhadap kebajikan pelajar dan cabaran yang mereka hadapi sepanjang tempoh tersebut. Justeru, KPT telah mencadangkan kepada Kerajaan untuk membenarkan pelajar pulang ke rumah masing-masing melalui prosedur yang teratur dan terancang.

Namun begitu, atas nasihat dan saranan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), cadangan ini masih perlu diperhalusi. Saranan ini dibuat dengan mengambil kira bahawa pergerakan pelajar secara beramai-ramai akan membawa risiko penularan semula COVID-19 yang kini telah mula menunjukkan tanda-tanda pengurangan. Justeru, Kementerian bersetuju dengan keputusan Kerajaan agar pelajar terus kekal berada di lokasi masing-masing sehingga arahan terbaharu dikeluarkan dari masa ke semasa.

Kementerian yakin para pelajar turut memahami bahawa Kerajaan sedang berhadapan dengan saat getir dalam menangani ancaman global ini. Kerajaan juga menghargai pengorbanan dan solidariti yang telah ditunjukkan para pelajar untuk bersama-sama memerangi wabak ini. Apa yang diperlukan pada ketika ini ialah sedikit kesabaran untuk terus bertahan berada di dalam kampus sehingga usaha memutuskan rantaian COVID-19 ini berjaya dilaksanakan.

 Kementerian berpandangan bahawa masa senggang yang ada semasa PKP ini boleh dimanfaatkan para pelajar dengan menjalankan pelbagai aktiviti seperti pembelajaran dalam talian, meneroka penggunaan teknologi terkini dalam pembelajaran, melebarkan jaringan professional di dalam LinkedIn dan komuniti Research Gate dan sebagainya. Melalui usaha-usaha ini, pelajar akan memperoleh nilai tambah yang boleh membantu meningkatkan prestasi akademik.

Pada masa yang sama, Kementerian ingin menasihatkan pelajar supaya terus mengambil langkah pencegahan seperti mencuci tangan, memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial. KPT yakin dan percaya bahawa dengan usaha dan kerjasama yang berterusan antara Kementerian dengan para pelajar, wabak COVID-19 ini akan dapat ditangani dengan lebih tuntas dan berkesan.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
12 APRIL 2020

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 9003
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.