logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PROGRAM KEBOLEHPASARAN GRADUAN INDUSTRI 4.0: KOLABORASI BERSAMA KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI DAN MALAYSIA TECHNOLOGY DEVELOPMENT CORPORATION


Seramai 200 orang graduan daripada 17 buah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) termasuk 8 buah Polikteknik telah menerima surat penempatan perantisan bagi Program Kebolehpasaran Graduan Industri 4.0 (GE i4.0) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC).

Objektif utama Program GE i4.0 bagi tahun 2020 – 2021 ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada peserta tentang persekitaran pekerjaan di syarikat yang berteraskan Industri 4.0 melalui modul latihan secara hibrid merangkumi soft skills dan hard skills.

Sejumlah 1,300 permohonan telah diterima untuk mengikuti program ini. Setelah saringan dilaksanakan, 550 graduan telah ditawarkan untuk mengikuti kursus prapenempatan yang dilaksanakan oleh MTDC Akademi (Technopreneur Training Academy – TENTRA). Daripada jumlah tersebut, 200 graduan telah berjaya menamatkan kursus serta melepasi tapisan dan seterusnya ditempatkan di syarikat-syarikat di bawah ekosistem MTDC secara perantisan untuk tempoh tiga (3) bulan. Mereka juga berpeluang diserap sebagai pekerja tetap sekiranya menunjukkan prestasi yang cemerlang dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Pelaksanaan program ini melibatkan empat (4) peringkat, iaitu Peringkat Pertama – Pemilihan Peserta; Peringkat Kedua – Kursus Prapenempatan atau Career Enhancement Workshop; Peringkat Ketiga – Penempatan Perantisan; dan Peringkat terakhir – Penempatan di Syarikat.

Penyertaan program terbuka kepada graduan IPTA yang berkelulusan Diploma dan Ijazah dalam bidang STEM, Teknikal dan Sains Sosial yang baru menamatkan pengajian pada tahun 2020 dan juga graduan 2019 yang masih belum bekerja.

Penglibatan industri secara langsung dalam latihan berupaya memberikan perspektif berbeza serta membolehkan peserta memahami dengan lebih jelas tuntutan tugas serta kemahiran yang diperlukan oleh industri apabila mula memasuki pasaran pekerjaan. Latihan yang diberikan tidak hanya terhad kepada Best Industry Practises dan standard Industri 4.0 semata-mata tetapi turut menekankan aspek ketrampilan diri bagi meningkatkan keyakinan graduan untuk memasuki alam pekerjaan.

Majlis penyerahan surat penempatan perantisan yang turut disiarkan secara maya melalui FBlive KPT dan MTDC telah disaksikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi bersama-sama dengan YBhg. Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi dan YBhg. Dato’ Norhalim Yunus, Ketua Eksekutif MTDC. YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada syarikat-syarikat yang telah menawarkan kekosongan perjawatan kepada peserta program. Beliau yakin inisiatif seumpama ini akan memberikan impak dan nilai tambah kepada graduan.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
12 Mac 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Program Kebolehpasaran Graduan Industri 4.0: Kolaborasi Bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan Malaysian Technology Development Corporation (185 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 10682
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.