SIARAN MEDIA
ASEAN DAN EU PERKUKUH KERJASAMA SEKTOR PENDIDIKAN
TINGGI DAN JARINGAN AKADEMIK
Kerjasama antara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Kesatuan Eropah (EU) bagi sektor pendidikan tinggi dan jaringan akademik terus diperkukuh melalui Dialog Polisi dan Sesi Jaringan Akademik yang berlangsung dari 26 hingga 28 Mei 2025 di Brussels dan KU Leuven, Belgium.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut hadir dalam program yang menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin institusi pendidikan tinggi, wakil belia serta pakar pendidikan dari kedua-dua rantau bertujuan menyelaraskan keutamaan strategik dan membincangkan dasar berkaitan cabaran bersama seperti transformasi digital, mobiliti kemahiran, pendidikan inklusif, serta ketahanan terhadap perubahan iklim.
Antara hasil utama daripada program ini termasuklah peningkatan kefahaman terhadap kerangka pengiktirafan kemahiran antara rantau; strategi memperkukuhkan penyertaan belia dalam proses pembuatan dasar; dan pengukuhan hubungan antara pemegang taruh pendidikan ASEAN dan EU.
Timbalan Ketua Pengarah European Commission’s Directorate-General for International Partnerships (DG INTPA), Martin Seychell turut menekankan komitmen EU terhadap pembangunan pendidikan tinggi dan kemahiran sejajar dengan strategi Global Gateway manakala Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr Kao Kim Hourn juga turut menegaskan pentingnya elemen perhubungan berpusatkan rakyat dalam memacu pembangunan mampan dan integrasi serantau.
Perbincangan yang diadakan pada hari terakhir pula tertumpu kepada KU Leuven, iaitu sebuah institusi pendidikan tinggi terkemuka di Eropah yang menjadi tuan rumah bersama acara jaringan universiti ASEAN–EU bertemakan "Advancing Partnerships in Higher Education: Strengthening EU–ASEAN Academic Collaboration". Acara ini mengetengahkan model kejayaan kerjasama institusi, penyelesaian praktikal mengatasi cabaran kerjasama akademik, dan meneroka peluang untuk memperluaskan pertukaran tenaga kerja akademik.
Kesemua inisiatif ini adalah sebahagian daripada EU–ASEAN Sustainable Connectivity Package – Higher Education Programme (SCOPE-HE) yang dilancarkan pada pertengahan 2024. Sehingga kini, lebih 500 institusi pendidikan tinggi dari ASEAN dan EU telah terlibat melalui pemberian Academic Connectivity Grants, pelaksanaan kajian serantau berkaitan kerangka kelayakan dan jaminan kualiti, serta inisiatif pemerkasaan belia seperti kempen Empower Youth4Food.
Secara keseluruhan, program ini menzahirkan komitmen jitu ASEAN dan EU dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi sebagai pemacu kemajuan bersama, inovasi dan pembangunan mampan serantau.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
28 Mei 2025
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1836