SIARAN MEDIA
DATUK DR. ANESEE IBRAHIM MULAKAN TUGAS SEBAGAI KSU KPT
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengucapkan sekalung tahniah dan selamat datang kepada YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim atas pelantikan sebagai Ketua Setiausaha (KSU) KPT berkuatkuasa 10 Mac 2025 bagi menggantikan YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang telah bersara wajib pada 3 Mac lalu.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Datuk Mohamad Azhan Md. Amir dan pengurusan tertinggi KPT di perkarangan lobi sebelum sesi mengetik perakam waktu (clock-in) di lobi bangunan Kementerian sebagai simbolik memulakan tugas. Seterusnya, beliau telah turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Datuk Dr. Anesee, sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan berkelulusan Doktor Falsafah dari Durham University, United Kingdom. Beliau juga merupakan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM)/ Institut Teknologi MARA (ITM) di peringkat Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma.
Memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1994 sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), beliau pernah bertugas di beberapa jabatan dan Kementerian antaranya JPA serta Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, beliau juga turut pernah bertugas sebagai Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO Paris, Perancis.
Datuk Dr. Anesee berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran awam serta sektor pendidikan dan diharap dengan pelantikan beliau dapat memperkukuhkan lagi agenda pembangunan pendidikan tinggi selaras dengan aspirasi kerajaan MADANI dalam memastikan sistem pendidikan tinggi yang berkualiti, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
10 Mac 2025
Muat Turun:
pdf Siaran Media - Datuk Dr Anesee Ibrahim Mulakan Tugas Sebagai KSU KPT(78 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 470