logo kpt black

SIARAN MEDIA

FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA HIMPUNKAN LEBIH 80 ORANG PEMIMPIN,
PAKAR BIDANG, INDUSTRI; BINCANG IDEA INOVATIF DAN PENYELESAIAN


Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) yang bakal membuka tirai bermula 27 hingga 29 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini dijangka menghimpunkan lebih 80 pemimpin, pakar bidang, ahli akademik dan industri dalam pentas forum dan sidang selari menerusi Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS).

Platform berprestij ini akan membincangkan isu-isu semasa dengan kesemua mereka yang menjadi moderator dan panel ini akan berkongsi pandangan, pengalaman dan idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran semasa yang dihadapi negara dan dunia.

Terdapat lima forum bakal mengambil tempat sepanjang tiga hari penganjuran iaitu berkisarkan pengenalan idea, kisah kejayaan idea serta reformasi perkhidmatan awam. Turut bakal berlangsung, 10 sidang selari dengan menyentuh topik berkaitan ekonomi, pendidikan, diplomasi antarabangsa, kesihatan, Kecerdasan Buatan (AI), TVET, transformasi pendigitalan, keterjaminan makanan, kelestarian alam serta konteks MADANI.

Turut diperkenalkan adalah Putrajaya FOI Talk dengan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan bersama dua panel lain membincangkan mengenai ‘Idea Anak Muda Malaysia’ seterusnya merasmikan program pada 28 November ini.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah turut berkenan menyampaikan Titah Diraja di Putrajaya FOI pada hari terakhir program iaitu 29 November 2024.

Antara tetamu kehormat dan panel/ moderator yang dijadualkan hadir adalah Menteri Komunikasi YB Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh; Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes; Naib Presiden Rangkaian Strategik Global, Elsevier Japan; Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Nazir Tun Razak; Pengasas Kumpulan Aerodyne, Dato’ Kamarul A Muhamed; Pengasas Bersama CARSOME Sdn. Bhd, Jiun Ee Teoh; Ketua Pegawai Eksekutif Infinecs System Sdn. Bhd., Kalai Selvan; Pengasas Aphelia Space, Razlan Dhamir serta Genius Muda, Universiti Malaya, Izz Imill Shahrom.

Penganjuran program berprestij ini sebagai usaha signifikan bagi memartabat pendidikan tinggi serta memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat kecemerlangan wacana intektual dan inovasi. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berharap dengan pengisian-pengisian ini akan mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
26 November 2024

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Festival Idea Putrajaya Himpunkan Lebih 80 Orang Pemimpin, Pakar Bidang, Industri; Bincang Idea Inovatif dan Penyelesaian (206 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1484
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 10:19:49.

logo-sirim