SIARAN MEDIA
FESTIVAL IDEA PUTRAJAYA INISIATIF KPT MERAKYATKAN IDEA
DAN PENDIDIKAN TINGGI
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan Festival Idea Putrajaya pada
27 hingga 29 November 2024. Penganjuran Festival Idea Putrajaya yang julung kali diadakan pada tahun 2024 ini adalah program pengenalan kepada Festival Idea Putrajaya yang bakal diadakan secara tahunan mulai tahun 2025.
Festival Idea Putrajaya ini merupakan satu inisiatif penting dalam usaha merakyatkan idea dan pendidikan tinggi secara besar-besaran serta mempromosi Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi di peringkat serantau dan global melalui pendekatan the whole of government.
Selain itu, ia bertujuan untuk menghimpunkan pemimpin, pemikir, pakar, pembuat dasar, ahli akademik, industri dan masyarakat umum dalam satu platform berprestij bagi membincang dan berkongsi idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran- cabaran semasa yang dihadapi oleh negara dan dunia.
Festival ini juga dianjurkan bagi mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu dan dalam masa yang sama, semua idea dan penyelidikan dibawa dan dikumpulkan dalam satu platform untuk dikongsikan kejayaan negara dengan masyarakat dunia dan merangka masa depan negara melalui ‘The Malaysian Success Stories’ dan mengangkat Putrajaya sebagai ‘City of Ideas’.
Platform ini turut berperanan dalam mengetengahkan kearifan lokal dan kebijaksanaan tempatan yang turut menyumbang dalam usaha membina masyarakat MADANI yang maju dan bertamadun berasaskan ilmu pengetahuan, tradisi dan khazanah.
Dalam pada itu, jerayawara Festival Idea Putrajaya yang dianjurkan pada 9 hingga 10 November 2024 ini bagi mempromosikan penganjuran acara kemuncak festival tersebut dan telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
09 November 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 4374