logo kpt black

SIARAN MEDIA

i-FUTURE 2024 BERJAYA MEMBINA RANGKAIAN PERPADUAN PELAJAR SECARA GLOBAL


Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir petang ini telah menutup dengan rasminya persidangan International Young Future Leaders Summit 2024 (iFUTURE 2024) yang telah berlangsung selama tiga (3) hari bermula 16 hingga 18 Ogos 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Lebih 1,000 orang pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa dari 46 buah negara telah mendapat manfaat secara langsung melalui sesi perkongsian dan diskusi melibatkan para pemimpin daripada sektor pendidikan tinggi, pemimpin muda negara serta beberapa Menteri-menteri Kabinet yang memfokus kepada usaha-usaha membangunkan pemimpin masa hadapan yang terampil dan wibawa.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, para mahasiswa telah diberi amanat untuk terus berani bersuara dalam memperjuangkan isu-isu negara dan global seperti kemanusiaan, rasuah, kelestarian alam, jurang kemiskinan berpandukan pada prinsip dan nilai yang teguh.

Hari kedua iFUTURE 2024 turut menyaksikan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir menyampaikan ucaptamanya yang menggesa para mahasiswa untuk bangkit dan bergandingan dalam mengorak langkah bagi merubah hala tuju masa depan dunia.

Sebanyak tujuh (7) sesi forum telah diadakan bermula semalam dan hari ini dengan forum pertama yang bertajuk ‘Peranan Mahasiswa Sebagai Rakan Pembina Negara Bangsa’ telah membincangkan kepentingan pembangunan dan penggemblengan tenaga mahir serta buah fikiran mahasiswa dalam membangun negara bangsa. Forum ini telah dikendalikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

Manakala pada Forum 2 yang bertajuk ‘Penerapan Nilai Manusiawi di Media Sosial’ telah menerangkan keperluan ‘memanusiakan’ dan menyediakan suasana dalam talian yang sejahtera untuk semua. Forum ini menyaksikan Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil bertindak sebagai Komentar.

Seterusnya pada Forum 3, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), YB Dato’ Sri Azalina Othman Said, telah memberikan komentar bagi forum yang bertajuk ‘Teknologi AI Pemacu Kepimpinan Masa Hadapan’. Sesi tersebut turut membicarakan kecekapan dan ketangkasan pengurusan dalam mengadaptasi terhadap keperluan masa kini yang berasimiliasi dengan kecerdasan buatan (AI).

Pada pagi tadi, Forum 4 yang bertajuk ‘Peranan Politik Dalam Membentuk Pemimpin’ telah membincangkan kepentingan peranan politik dalam memupuk pemimpin masa hadapan yang dibarisi ahli panel yang juga Jemaah Menteri Kabinet iaitu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali; Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan; YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan; serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Seterusnya, Forum 5 yang bertajuk ‘Malaysia MADANI: Pentingkah Penglibatan Mahasiswa dalam Pembinaan Negara Bangsa?’ telah membincangkan peranan generasi muda dalam menggerakkan perubahan kepada masyarakat, dengan memperjuangkan isu-isu sosial dan politik. Ia juga mengetengahkan penglibatan mahasiswa dan golongan muda dalam membentuk masa depan negara.

Sementara itu, Forum 6 yang bertajuk ‘Keterbukaan Kerajaan Terhadap Belia dan Mahasiswa’ membincangkan kepentingan penglibatan belia dan mahasiswa dalam proses pentadbiran dan penekanan terhadap ketelusan bagi mengupayakan golongan muda untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses demokrasi.

Forum terakhir iaitu Forum 7 yang bertajuk ‘Pemerkasaan Wanita: Bangkit Memimpin?’ menampilkan barisan pemimpin wanita yang terdiri daripada Timbalan Menteri Perpaduan, YB Senator Saraswathy Kandasami; Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Datuk Norliza Abdul Rahim; dan Prof. Adjung, Pengajian Industri Kreatif, Prof. Madya Dr. Soo Wincci ini memberi fokus kepada usaha memberdayakan wanita dan memperkasa peranan mereka dalam kepimpinan.

Dalam pada itu, YB Menteri dalam ucapan penutupannya turut mengumumkan penubuhan Global Student Unity Network (GSUN) yang akan menjadi platform kerjasama serta pembangunan program kepimpinan mahasiswa peringkat antarabangsa. Ia juga akan menjadi platform jaringan antara pemimpin mahasiswa tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi idea dan pendapat.

Penganjuran iFUTURE 2024 buat julung kalinya ini telah memberi peluang kepada mahasiswa untuk memperkukuhkan penyerlahan bakat kepimpinan; meningkatkan kualiti keilmuan; mengukuhkan keterampilan; dan kemahiran pengucapan awam selari dengan matlamat dan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi dalam membentuk mahasiswa yang bermutu tinggi dalam segala aspek.

Kementerian Pendidikan Tinggi

18 Ogos 2024

  pdf SIARAN-MEDIA - KPT MAJLIS PENUTUP iFUTURE 2024 BERJAYA MEMBINA RANGKAIAN PERPADUAN PELAJAR SECARA GLOBAL (116 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5622
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 30 Oktober 2024, 10:30:11.

logo-sirim