SIARAN MEDIA
MAJLIS PENAMAAN KURSI PENGAJIAN MELAYU
SULTAN IBRAHIM DI BEIJING FOREIGN STUDIES UNIVERSITY
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu yang terletak di Beijing Foreign Studies University (BFSU), China dengan nama Baginda, menjadikan nama baharunya sebagai Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim.
Kursi akademik di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu telah ditubuhkan pada tahun 2007 di BFSU bagi mengiktiraf peranan universiti itu yang konsisten dalam usaha pengembangan Bahasa Melayu di negara China.
BFSU merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus bahasa Melayu di China seawal tahun 1962, dengan Mendiang Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.
Sehingga kini terdapat 17 buah Institusi Pendidikan Tinggi China yang menawarkan kursus pembelajaran Bahasa Melayu. Penamaan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim ini mengukuhkan lagi keakraban Malaysia dan China dengan sambutan Jubli Emas Ulang Tahun ke-50 hubungan diplomatik Kuala Lumpur – Beijing yang telah termeterai pada 31 Mei 1974.
Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di BFSU China merupakan Kursi Akademik yang Keempat ditubuhkan oleh KPT, di samping Kursi Pengajian Melayu di negara lain antaranya Ohio University di Amerika Syarikat (1979) , Leiden University di Belanda (1991), Victoria University di New Zealand (1995), dan Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan (2005).
KPT menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang telah perkenan menamakan Kursi Pengajian Melayu tersebut dengan nama Baginda.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
21 September 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2557