SIARAN MEDIA
MEMETA HALA TUJU PENDIDIKAN TINGGI MENERUSI
PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA
(PPPTM) 2026-2035
Bagi memastikan pendidikan tinggi terus signifikan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 telah diadakan sebagai platform bagi Kumpulan Pakar untuk membentangkan gambaran ringkas mengenai ‘Brief Overview of Blueprint Development’.
‘Brief Overview of Blueprint Development’ merangkumi aspirasi nasional baharu PPPTM 2026-2035 yang akan memfokuskan kepada beberapa lonjakan utama antaranya adalah ‘High Performance Talent with Purpose’ dalam menetapkan hala tuju pendidikan tinggi negara masa hadapan, selaras dengan aspirasi negara dan keperluan pasaran kerja.
Pelaksanaan objektif ini diterjemahkan dalam bentuk perbincangan bagi mencapai persetujuan yang mana perbincangan ini akan dijadikan sebagai input bagi hala tuju pendidikan tinggi negara 10 tahun akan datang.
Seramai 50 orang ahli mesyuarat yang terdiri daripada pengurusan tertinggi Kementerian dan IPT, tokoh konglomerat, pemain industri utama negara dan pakar rujuk telah hadir bagi menjayakan pembangunan PPPTM 2026-2035 ini dengan dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan pembentangan telah disampaikan oleh Pengerusi Kumpulan Pakar, YBhg. Profesor Emerita Datuk Dr Asma Ismail.
KPT sedang merangka dokumen hala tuju pendidikan tinggi yang baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM(PT) 2015-2025 yang akan tamat tempohnya pada tahun hadapan.
KPT akan melaksanakan sesi libat urus dengan pemegang taruh dan kumpulan sasar bagi mengumpul maklumat dan pandangan semua pihak supaya dokumen yang dibangunkan adalah menyeluruh dan inklusif.
Dalam pada itu, satu Tinjauan Nasional juga sedang dilaksanakan bagi mendapatkan maklum balas awam yang ingin menyumbang idea dan pandangan dalam penghasilan PPPTM 2026- 2035 di pautan https://forms.gle/fG3JpxF4zSWk4uEh7
Kementerian yakin dengan sinergi pihak berkepentingan melalui sumbangan idea, pelan ini akan menghasilkan strategi berimpak tinggi dan berkesan bagi memacu landskap pendidikan tinggi negara ke tahap yang lebih tinggi.
Kementerian Pendidikan Tinggi
11 Julai 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 5269