SIARAN MEDIA
Menteri Pendidikan Tinggi Adakan Lawatan Kerja Ke Turkiye, Arab Saudi; Perkukuh Kerjasama Dan Potensi Malaysia Sebagai Pemain Utama Sektor Pendidikan Tinggi
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir memulakan lawatan kerja rasmi ke Istanbul, Republik Turkiye dan Riyadh, Arab Saudi mulai 8 hingga 14 April 2025, bagi memperkukuh jaringan strategik dan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan tinggi. Lawatan kerja ini juga adalah sebagai usaha strategik untuk meletakkan pendidikan tinggi Malaysia di pentas global selain memperkukuh potensi negara sebagai pemain utama sektor ini.
Lawatan Kerja Ke Istanbul, Republik Turkiye
YB Menteri akan memulakan lawatan kerjanya ke Republik Turkiye dengan menghadiri dan menyampaikan ucaptama bertemakan “Advancing Collaboration in a Changing Higher Education Landscape” di Sidang Kemuncak 10th Annual Eurasia Higher Education Summit (EURIE) 2025. Ia merupakan persidangan dan pameran pendidikan tinggi antarabangsa tahunan yang menghubungkan sektor pendidikan tinggi daripada rantau Eurasia dengan rantau-rantau lain di dunia.
Seterusnya, YB Menteri akan turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Majlis Pendidikan Tinggi (YÖK), Prof. Dr. Erol Özvar dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye bagi merangka peluang kerjasama institusi pengajian tinggi. Ia bakal menyaksikan pertukaran dokumen rasmi antara kedua-dua Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia-Turkiye.
YB Menteri turut dijadual merasmikan Turkish-Malaysian Inter-University Forum bagi memperkukuh kolaborasi penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembangunan bakat. Sepanjang di Istanbul, YB Menteri turut mengadakan lawatan ke Program Luar Pesisir Universiti Sains Malaysia (USM) dan ke Istanbul Technical University (ITU) selain dijadual menyantuni para pelajar dan alumni Malaysia di Istanbul bagi bertukar pandangan berhubung hala tuju pendidikan tinggi Malaysia.
Lawatan Kerja Ke Riyadh, Arab Saudi
Bagi Lawatan Kerja ke Riyadh, YB Menteri telah dijemput oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menghadiri Persidangan Human Capability Initiative (HCI) 2025. Beliau akan menyertai Ministerial Roundtable dan Panel Discussion yang turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi dari 16 negara lain. HCI dijangka membincangkan literasi AI, pembangunan kemahiran sejajar pasaran buruh, serta pembelajaran sepanjang hayat.
Seterusnya, YB Menteri akan mengakhiri lawatan kerja ke Arab Saudi dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas rakan sejawat beliau, iaitu TYT Yousef Al-Benyan, Menteri Pendidikan Arab Saudi. Semasa pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin akan membincangkan usaha-usaha untuk memantapkan kerjasama dalam ekosistem pendidikan tinggi antara Malaysia dan Arab Saudi.
Lawatan ini dijangka akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi serantau dan antarabangsa selain membina kerjasama global dalam memperkasakan sistem pendidikan yang responsif terhadap perubahan landskap global. Ia selaras dengan teras Malaysia MADANI yang bermatlamat untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju berteraskan 6 nilai MADANI melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
8 April 2025
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3354