SIARAN MEDIA
PEJABAT EDUCATION MALAYSIA BEIJING (EMB) DIUMUMKAN SEBAGAI “BEST PARTNER 2024” BERSEMPENA PERSIDANGAN DAN EKSPO TAHUNAN PENDIDIKAN ANTARABANGSA CHINA (CACIE 2024)
BEIJING, 31 OKTOBER 2024 – Persidangan dan Ekspo Tahunan Pendidikan Antarabangsa China atau China Annual Conference and Expo for International Education (CACIE) 2024 tahun ini telah berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November 2024 di China National Convention Center. CACIE merupakan acara tahunan Kementerian Pendidikan China menerusi affiliasinya China Education Association for International Exchange (CEAIE) sejak tahun 1981, dan merupakan persidangan dan ekspo pendidikan antarabangsa terbesar dan tertua di Republik Rakyat China. Bertemakan “Celebrating 25 years: A Time to Reflect, Envision and Create”, acara berprestij ini disertai oleh lebih 60 buah negara di dunia.
Dalam acara mega tersebut, Pejabat Education Malaysia Beijing (EMB), di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi Malaysia telah diumumkan sebagai penerima anugerah “Best Partner 2024” oleh CEAIE. Agensi antarabangsa yang sepentas dengan EMB menerima anugerah yang sama ialah The Japan Foundation (Jepun), American Association of State Colleges and Universities (USA), Group of Eight Australia (Australia), dan Alliance Francaise de Pekin (Perancis).
Ini adalah kali pertama EMB menerima anugerah ini, sekaligus mengiktiraf sumbangan dan penglibatan-penglibatan aktif EMB dalam aktiviti-aktiviti diplomasi pendidikan dan komitmen berterusan dalam kerjasama strategik ke arah mempromosikan pengantarabangsaan pendidikan tinggi di negara tembok besar tersebut.
Anugerah “Best Partner” ini merupakan anugerah tahunan yang dianugerahkan bagi mengiktiraf organisasi atau individu yang telah menunjukkan penglibatan yang proaktif serta konsisten dalam pelbagai program pendidikan di China.
Anugerah tersebut telah disampaikan kepada Pengarah EMB, Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif oleh Presiden CACIE 2024, Dr. Liu Limin.
TAMAT
PEJABAT EDUCATION MALAYSIA BEIJING BEIJING, REPUBLIK RAKYAT CHINA
3 NOVEMBER 2024
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3471