SIARAN MEDIA
PROF. DR. SUFIAN JUSOH DILANTIK NAIB CANSELOR UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA KE-14
Sukacita dimaklumkan bahawa Prof. Dr. Sufian Jusoh dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu bagi tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa mulai 5 Jun 2025.
Prof. Dr. Sufian Jusoh, 57 tahun, merupakan pakar dalam bidang integrasi ekonomi multilateral dan serantau (multilateral and regional economic integration), dan undang-undang antarabangsa. Beliau memulakan pengajian tertiari di University of Wales dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang- undang dengan Kepujian. Seterusnya, pada tahun 2003 beliau telah melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang yang sama di University College London. Minat beliau yang mendalam terhadap bidang perundangan telah mendorong beliau untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan berjaya memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Undang-undang Ekonomi Antarabangsa dan mendapat pengiktirafan peringkat tertinggi (summa cum laude) dari University of Bern, Switzerland pada tahun 2010.
Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor UKM, beliau merupakan Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM selama lebih dari tujuh (7) tahun bermula tahun 2018 sehingga kini. Beliau juga telah diberi kepercayaan untuk mengetuai Projek Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean 2025 dan Keberhasilan Utama Ekonomi Sempena Kepengerusian Malaysia bagi ASEAN Tahun 2025 di bawah Tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN yang diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bermula 12 September 2024 hingga 30 November 2025. Selain itu, beliau juga adalah Perwakilan Malaysia bagi Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), Research Institute Network bagi tempoh 3 tahun bermula 2022.
Kementerian yakin, pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UKM yang baharu bakal meneruskan kesinambungan pemerkasaan pembangunan akademik dan penyelidikan yang berteraskan acuan nasional serta melahirkan graduan yang berdaya saing, kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang tinggi.
Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman atas jasa bakti beliau menerajui UKM sebelum ini.
KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
6 Jun 2025
Muat Turun:
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1409