logo kpt black

SIARAN MEDIA

PROF. TS. DR. ARHAM ABDULLAH DILANTIK NAIB CANSELOR
UMK KE-7


Sukacita dimaklumkan bahawa Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang ketujuh berkuat kuasa 16 Februari 2025. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 1998 dan 1999 serta Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Binaan (Construction Management) di Loughborough University, United Kingdom pada tahun 2003.

Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1999 dan pernah dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Inovasi) di Pusat Inovasi dan Pengkomersialan, UTM dari tahun 2010 hingga 2014. Seterusnya, beliau dipinjamkan ke Jabatan Pendidikan Tinggi selama lima (5) tahun dari tahun 2014 sebagai Pengarah Bahagian Hubungan Industri sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK dari tahun 2019 hingga kini.

Memiliki kepimpinan institusi dan pengalaman pentadbiran organisasi yang luas di pelbagai peringkat, Kementerian yakin Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah mampu menerajui UMK dalam mengupayakan pembangunan akademik dan memperkasa kecemerlangan berteraskan inovasi bagi melahirkan bakat terbaik negara terutama dalam bidang keusahawanan secara optimum.

Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dato’ Prof. Dr. Razli Che Razak atas jasa bakti beliau menerajui UMK sebelum ini.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI
14 Februari 2025

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah Dilantik Naib Canselor UMK Ke-7(93 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 403
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim