logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA DAN UNIVERSITI SAINS MALAYSIA SEBAGAI PUSAT PEMBERIAN VAKSIN


Tiga Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pendidikan Tinggi (PPV IPT) iaitu di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam; Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Induk; dan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (AMDI) USM Cawangan Bertam akan dibuka seawal minggu hadapan. PPV IPT UiTM Kampus Puncak Alam akan memulakan operasi pada 7 Jun 2021 manakala PPV IPT USM dan PPV IPT AMDI akan mula beroperasi pada 14 Jun 2021.

Pemberian vaksin di UiTM Kampus Puncak Alam akan dibuat di Dewan Berlian yang mempunyai kapasiti 1500 orang pada satu-satu masa. Pemberian vaksin di UiTM Kampus Puncak Alam ini akan turut dilaksanakan secara hybrid di mana perkhidmatan pemberian vaksin kepada orang ramai secara pandu lalu juga disediakan. Pemberian vaksin secara pandu lalu akan dibuat di Hospital UiTM yang terletak di dalam kampus institusi berkenaan.

Bagi menyokong usaha ini, seramai 200 orang kakitangan UiTM telah digerakkan yang terdiri daripada petugas barisan hadapan kampus dan petugas kesihatan dari Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Farmasi dan Fakulti Sains Kesihatan. Perkhidmatan sukarelawan yang terdiri daripada staf, pelajar dan alumni juga mendapat sokongan yang mengalakkan. PPV IPT UiTM Kampus Puncak Alam ini bakal memberi manfaat yang besar kepada warga Selangor. Operasi pemberian vaksin dijadual bermula mulai jam 9.00 pagi sehingga 8.00 malam.

Bagi PPV IPT USM, pemberian vaksin akan dijalankan di Dewan Peperiksaan A dan B, Kampus Induk, USM. Pemberian vaksin ini akan dilaksanakan secara hybrid dengan sasaran 400-1,000 sehari. Perkhidmatan pemberian vaksin kepada orang ramai secara pandu lalu turut dirancang bagi kes-kes tertentu seperti OKU. Pemberian vaksin di PPV IPT AMDI, USM Cawangan Bertam akan dibuat di Dewan Al-Azahari, yang mempunyai kapasiti 200 orang pada satu-satu masa dengan sasaran 1,000 orang sehari.

USM telah menggerakkan 400 orang kakitangan iaitu petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang terdiri terdiri daripada staf, pelajar dan juga alumni. Kedua-dua PPV IPT di bawah kelolaan USM ini bakal memberi manfaat yang besar kepada warga Pulau Pinang. Operasi pemberian vaksin bakal bermula seawal jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Tiga PPV IPT ini merupakan sebahagian daripada 19 PPV IPT yang dicadangkan oleh KPT bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 (PICK) dalam menyediakan akses lebih luas kepada rakyat untuk menerima vaksin.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) atas peluang kerjasama yang diberikan kepada pihak IPT untuk bersama-sama menangani wabak COVID-19 di negara ini. KPT yakin dan komited bahawa inisiatif bersama ini mampu melandaikan jangkitan COVID-19.

DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI
5 JUN 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Pusat Pemberi Vaksin (PPV) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) (20 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 13477