logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

UNIVERSITI PENYELIDIKAN DI MALAYSIA MENGEKALKAN KEDUDUKAN DALAM KELOMPOK 200 TERBAIK DI DUNIA


Kesemua lima Universiti Penyelidikan Malaysia iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mengekalkan kedudukan mereka dalam kelompok 200 universiti terbaik dunia walaupun terdapat sedikit penurunan dalam kedudukan individu berbanding tahun lepas dalam laporan yang dikeluarkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2022 pada 9 Jun 2021.

UM sekali lagi telah berjaya disenaraikan sebagai 100 universiti terbaik di dunia dengan berada di tempat ke 65. Kedudukan UM dalam 100 universiti terbaik dunia telah dicapai sejak tahun 2018 iaitu tujuh tahun lebih awal daripada sasaran malah berjaya mengekalkan kedudukan setiap tahun sehingga hari ini.

Selain lima Universiti Penyelidikan Malaysia itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila berjaya menduduki tangga 511-520 berbanding di tempat 531-540 pada tahun 2021.

Penilaian QS WUR adalah berdasarkan kepada enam petunjuk prestasi utama iaitu reputasi akademik (40%), reputasi majikan (10%), nisbah pelajar:pensyarah (20%), nisbah sitasi:pensyarah (20%), pensyarah antarabangsa (5%) dan pelajar antarabangsa (5%). Sistem ranking ini menilai dalam tiga bidang utama iaitu impak penyelidikan, pengajaran dan pengantarabangsaan.

Peningkatan Reputasi Akademik & Reputasi Majikan

Kesemua lima Universiti Penyelidikan telah menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan dalam dua petunjuk prestasi utama iaitu reputasi akademik dan reputasi majikan. Dalam petunjuk prestasi reputasi akademik, UM telah mendapat 76.9% berbanding 74.1% pada tahun lalu, UPM 53. 6% (50.5% tahun lalu), UKM 56.7% (53.8% tahun lalu), USM 58.9% (56% tahun lalu) dan UTM 42.4% (39.4% tahun lalu). Manakala dalam petunjuk prestasi reputasi majikan, UM telah mendapat 91.7% berbanding 84.6% pada tahun lalu, UPM 56.4% (52.8% tahun lalu), UKM 59.4% (55.7% tahun lalu), USM 63% (60.5% tahun lalu) dan UTM 53.4% (51.6% tahun lalu).

Penurunan kedudukan bagi 5 buah Universiti Penyelidikan selaras dengan penurunan skor bagi petunjuk prestasi yang lain termasuklah kategori pensyarah dan pelajar antarabangsa. Bagaimanapun, berdasarkan skor keseluruhan, UTM telah menunjukkan peningkatan dengan mendapat 45.1% berbanding 44.2% manakala UKM mengekal skor keseluruhan selepas mendapat 52%. Skor keseluruhan bagi tiga lagi Universiti Penyelidikan hanya turun kurang daripada 1% iaitu UM mendapat 69.8% berbanding 70.1% tahun lalu, UPM 52.2% (52.7% tahun lalu) dan USM mendapat 51% (51.9%) tahun lalu.

Bagi universiti swasta, Taylor’s University mendahului di kedudukan ke 332 (2021: 379), diikuti oleh UCSI University di kedudukan 347 (2021: 391), dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) di kedudukan ke 414 (2021: 439), serta Sunway University di kedudukan 651-700 berbanding di tempat 701-750 pada tahun sebelumnya.

Berdasarkan laporan tersebut juga, sebanyak 22 buah Universiti tempatan telah berjaya disenaraikan sebagai 1200 universiti terbaik dunia.

  • Lima buah universiti berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas
  • Universiti (UniKL) tersenarai untuk kali pertama;
  • Empat buah universiti mengekalkan kedudukan.

Cabaran yang dihadapi oleh sektor Pendidikan Tinggi Negara pada tahun ini dalam mendepani pandemik Covid-19 telah diterjemahkan melalui penurunan skor bagi empat daripada enam petunjuk prestasi utama yang diukur di bawah sistem penarafan QS WUR iaitu nisbah pelajar:pensyarah, nisbah sitasi:pensyarah, jumlah pensyarah antarabangsa dan bilangan pelajar antarabangsa.

Walau bagaimanapun, Laporan Quacquarelli Symonds (QS) kali ini juga menyatakan bahawa Malaysia masih merupakan antara negara yang menunjukkan pencapaian yang baik di dalam penarafan kali ini. Sistem pendidikan negara telah diterima sebagai bereputasi tinggi di kalangan akademik dan majikan di peringkat antarabangsa.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
9 Jun 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Universiti Penyelidikan Di Malaysia Mengekalkan Kedudukan Dalam Kelompok 200 Terbaik Di Dunia (107 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 17919
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.