'Elaun Sekurang-kurangnya RM900 kepada Pelajar Latihan Industri'

2021 11 08 liputan media 03

Sumber : Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Kerajaan menggesa pihak swasta memberi elaun sekurang-kurangnya RM900 kepada pelajar yang menjalani latihan industri.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini kerana sejak 2019, kerajaan telah mula membayar elaun sebanyak RM900 kepada pelajar yang menjalani program berkenaan.

“Pemuda-pemudi belia penentu kepada jatuh bangunnya negara ini. Justeru, pendedahan kepada alam pekerjaan amat penting untuk mereka berhadapan dengan dunia sebenar yang kian mencabar,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga akan menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun sebanyak RM900 sebulan bagi tempoh enam bulan.

“Jumlah ini meningkat sebanyak RM100 berbanding RM800 sebelum ini.

“Bagi belia yang menceburi bidang keusahawanan pula, pelan pembiayaan sebanyak RM150 juta akan disediakan di bawah Bank Simpanan Nasional dan Agrobank,” katanya.

Tengku Zafrul menambah, kerajaan juga akan melanjutkan galakan cukai bagi Program Latihan Industri Berstruktur sehingga tahun taksiran 2025, malah diperluas kepada pelajar di peringkat Ijazah Sarjana, Sijil Profesional serta Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Satu dan Dua.

 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5373
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini terakhir: Jumaat 31 Mac 2023, 08:27:14.