KPT dalam usaha tambah baik PdP IPT
TASEK GELUGOR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha menambah baik sistem pengajian dan pembelajaran dalam talian (PdP) di semua institusi pengajian tinggi (IPT) kendaliannya bagi memastikan e-pembelajaran di institusi itu bergerak seiring perkembangan semasa.
Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mansor Othman berkata usaha menambah baik PdP akan membabitkan beberapa aspek tertentu termasuk kaedah sistem itu dijalankan.
"Sejak tahun lepas pembelajaran dijalankan secara dalam talian, iaitu sesuatu yang masih baharu jadi kami di KPT hendak memperkukuhkan lagi e-pembelajaran," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Perhubungan PN negeri Datuk Shabudin Yahaya.
Sementara itu, Mansor berkata PdP secara hibrid di kampus akan bermula esok untuk semua enam kategori pelajar berkeperluan, sementara bagi pelajar yang tidak berkeperluan, mereka akan meneruskan PdP biasa.
"PdP secara hibrid dijalankan secara fizikal dan pengajian dalam talian, perkara itu dipersetujui Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan beberapa sesi libat urus, kajian dan tinjauan yang dijalankan dengan pihak berkepentingan," katanya.
Sebelum ini, KPT mengumumkan enam kategori pelajar berkeperluan akan dibenarkan kembali ke kampus bermula 1 Mac 2021, merangkumi antaranya pelajar program sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, bengkel dan peralatan khas.
Turut dibenarkan kembali ke kampus ialah pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif untuk PdP serta pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, kecuali dari United Kingdom.
-- BERNAMA
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 15893