KPT garis enam fokus strategik untuk pacu hala tuju 2021

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggariskan enam fokus strategik bagi memacu hala tuju kementerian bagi tahun ini, antaranya Memperkasakan Agenda Pendigitalan Pendidikan.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata lima fokus strategik lain ialah Memantapkan Jaringan Kolaborasi Strategik, Memperkukuh Kebolehpasaran Graduan, Memacu Kesejahteraan Komuniti, Mempersada Kecemerlangan Institusi dan Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin.

Beliau berkata sektor pendidikan tinggi yang bernilai melebihi RM35 bilion kepada ekonomi negara, adalah antara sektor yang terjejas sepanjang tempoh pandemik dengan 1.2 juta pelajar termasuk 130,000 pelajar antarabangsa terkesan apabila aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tidak dapat dijalankan seperti biasa.
Justeru, beliau mahu semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyesuaikan modul pembelajaran dan kaedah penilaian sedia ada dengan persekitaran digital, serta memastikan kapasiti tenaga pengajar juga perlu ditingkatkan khususnya dalam mengendalikan teknologi agar matlamat pendigitalan pendidikan dapat dicapai.

“Jadi, projek menaik taraf 11 MyREN (Malaysian Research and Education Network) yang diluluskan dengan peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2021 hendaklah disegerakan pelaksanaannya,” katanya pada Majlis Amanat Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi 2021, di sini hari ini.

Di bawah agenda Memantapkan Jaringan Kolaborasi Strategik, Noraini berkata hibrid kepakaran akademia dan pengalaman praktikal tokoh terkemuka industri serta masyarakat mampu menghasilkan pemikiran luar kotak yang bersifat penemuan baharu..

Mengenai fokus Memperkukuh Kebolehpasaran Graduan, Noraini berkata program peningkatan kebolehpasaran graduan seperti PENJANA KPT-CAP dan program Baucar KPT-PACE perlu digarap menjadi lebih kemas, diperluaskan spektrumnya, dan dipantau secara rapi bagi memastikan outcome yang ditetapkan dicapai.

“Satu lagi usaha yang boleh dilaksanakan di bawah fokus ini ialah pengukuhan agenda keusahawanan. Pelan Tindakan Keusahawanan 2021 – 2025 perlu disegerakan.

“Ini termasuklah menerapkan aspek keusahawanan dalam kurikulum; mempromosi keusahawanan sebagai satu peluang kerjaya; memberi bantuan dan sokongan bagi memulakan perniagaan; serta mendendangkan kisah-kisah kejayaan usahawan graduan,” katanya sambil menambah Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan IPT 2021 – 2025 akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Di bawah fokus Memacu Kesejahteraan Komuniti, Noraini berkata pentadbir IPT perlu menekankan tentang keperluan untuk menggiatkan sumbangan beyond academics kepada komuniti.

Mengenai fokus Mempersada Kecemerlangan Institusi, beliau berkata kecemerlangan sesebuah institusi dipacu oleh tadbir urus yang baik, dengan salah satu aspek tadbir urus yang wajar diberi perhatian ialah pengurusan Universiti Awam Holdings.

“Saya sarankan supaya kita berikan naratif baharu kepada business model syarikat induk Universiti Awam ini dan pastikan mereka memainkan peranan sebagaimana GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) lain.

Di bawah agenda Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin, Noraini menyeru agar warga KPT dan agensi di bawahnya serta pihak IPT untuk terus menghayati semangat #KPTPrihatin dengan menyerapkan elemen kebajikan sama ada kepada graduan mahupun terhadap warga kerja.

— BERNAMA

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 16259

Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.