Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia terima lebih 65,000 permohonan

2022 11 23 keratan akhbar 01

Sumber: Berita Harian

KUALA BESUT: Kerajaan menerima 65,898 permohonan tablet di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi fasa kedua dalam masa sebulan, sejak ia mula dibuka pada 1 Ogos lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata daripada jumlah tersebut sebanyak 45,341 permohonan layak menerima tablet manakala 20,557 permohonan sedang diproses.

"Kita mempunyai seramai 1.6 juta keseluruhan pelajar, bagaimanapun kalangan pelajar B40 ada lebih 300,000. Jadi kita minta pelajar yang layak dan belum lagi memohon supaya berbuat demikian kerana kita ada sehingga 30 September ini untuk proses permohonan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Akademik dan Pentadbiran, Bangunan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Taman Rimba Ilmu Tanah Bris (TRIBE) dan 'Agropreneur Incubator Park' (AIP) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut, di sini hari ini.

Noraini berkata, pemberian tablet jenama Samsung itu bergantung kepada permohonan memandangkan terdapat pelajar yang tidak mengemukakan permohonan kerana sudah mempunyai komputer riba atau tablet sendiri.

Dalam pada itu, Noraini juga meminta pelbagai pihak terutama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) supaya menguar-uarkan kepada para pelajar yang layak supaya segera mengemukakan permohonan sebelum 30 September ini.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 3,156 permohonan PerantiSiswa di Terengganu telah diluluskan dan seramai 150 pelajar UniSZA menjadi kumpulan pertama menerima tablet tersebut di Terengganu pada hari ini.

Pakej PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih untuk membekalkan sebuah peranti tablet kepada setiap pelajar B40 di IPT.

Sebelum ini, permohonan untuk inisiatif Perantisiswa yang dibuka secara dalam talian sejak 15 April hingga 15 Mei lalu bagi fasa pertama menerima kira-kira 100,000 permohonan.

Dalam perkembangan lain, Noraini berkata, kementerian sentiasa memantau kafeteria di setiap IPT awam bagi memastikan hidangan Menu Keluarga Malaysia bernilai RM3.50, diberikan dalam kuantiti munasabah dan tidak mengabaikan aspek kualiti makanan.

"Kerajaan juga memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus IPT awam mulai Julai lalu, jadi mereka sepatutnya boleh menawarkan menu pada kuantiti yang munasabah kepada pelajar," katanya. – BERNAMA

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 7953
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.