KPT - Vaksinasi: CITF Diminta Beri Kelonggaran Kepada Pelajar IPT

Vaksinasi: CITF Diminta Beri Kelonggaran Kepada Pelajar IPT

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) untuk kelonggaran berhubung pemberian vaksin kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menjelang kemasukan semula ke kampus secara fizikal.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata pihaknya mengambil maklum isu terdapat pelajar tidak dibenarkan menerima imunisasi oleh pihak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atas alasan mereka belum mencukupi usia 18 tahun.

"Keadaan ini pasti menimbulkan kesukaran kepada pelajar yang mahu kembali ke kampus.

"Justeru, saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi untuk membuat permohonan secara rasmi kepada CITF supaya memberi kelonggaran had usia 18 tahun berdasarkan tahun kelahiran dan bukan mengikut tarikh lahir sebenar pelajar.

"Ini bagi membolehkan pelajar yang lahir antara September hingga Disember 2003 serta mendapat tawaran kemasukan ke IPT, tidak dinafikan oleh PPV apabila hadir mendapatkan vaksin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, beliau difahamkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada 13 September lalu sudah bersetuju kelonggaran diberikan kepada pelajar IPT yang belum mencapai usia 18 tahun, untuk divaksin dengan syarat mengemukakan bukti surat tawaran kemasukan ke IPT dan mendapat persetujuan ibu bapa atau penjaga.

"Insya-Allah, selepas ini pelajar boleh mula mendapatkan vaksin secara 'walk in' di PPV," katanya.

Sebelum ini, ruangan komen dalam media sosial Noraini dibanjiri keluhan ibu bapa dan penjaga yang mengadu anak mereka yang bakal melanjutkan pelajaran di IPT, ditolak ketika hadir ke PPV untuk mendapatkan suntikan vaksin berikutan lahir antara September hingga Disember 2003.

Mereka mendakwa pelajar berkenaan turut membawa surat tawaran kemasukan ke IPT sebagai bukti, namun masih tidak dibenarkan menerima vaksinasi di PPV.

Sementara itu, CITF dalam satu kenyataan hari ini pula memaklumkan, pelajar IPT juga boleh mengambil vaksin secara 'walk-in' di lima PPV terpilih di Lembah Klang, bermula esok hingga 30 September ini.

PPV terbabit ialah Bangi Avenue Convention Centre (BACC), Bangi; Multimedia University (MMU), Cyberjaya; Axiata Arena, Bukit Jalil; Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI), Gombak; dan Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam di HCO B.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 592
Logo KPT
Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi © Hak Cipta Terpelihara
Kemaskini terakhir: Jumaat 15 Oktober 2021, 15:44:30.