APEC - Australia: Women in Research Fellowship 2022

Sukacita dimaklumkan bahawa program Women in Research Fellowship 2022 di bawah Kerjasama APEC-Australia kini telah dibuka untuk permohonan. Program ini adalah sebahagian daripada projek Kerjasama APEC yang diketuai Australia dalam memberikan sokongan kepada para penyelidik dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam menjalankan program fellowship di institusi penyelidikan Australia.

Sejumlah maksimum AUD20,000 bakal diterima oleh 20 penyelidik wanita (setiap seorang) bagi menyertai program fellowship ini pada Julai 2022 hingga April 2023 yang melibatkan tempoh masa sekitar satu (1) hingga empat (4) bulan. Program fellowship ini diadakan untuk menyokong kerjaya penyelidik wanita dengan menyediakan peluang untuk bekerja dengan pakar-pakar di Australia, memberikan akses kepada kemudahan yang berkualiti dan juga bertindak sebagai instrumen untuk membangunkan minat dan kecekapan penyelidikan. Selain daripada itu, program ini juga berfungsi dalam menyokong mobiliti dan kerjasama penyelidikan, memupuk peluang untuk membangunkan perkongsian kualiti jangka panjang antara institusi penyelidikan dalam ekonomi APEC serta meningkatkan hasil penyelidikan yang berkualiti tinggi. Calon-calon yang berminat mestilah mempunyai Ijazah Kedoktoran (PhD) yang dianugerahkan sebelum 1 April 2022.

Tawaran ini terbuka kepada penyelidik wanita yang merupakan warganegara atau penduduk tetap sembilan (9) negara ekonomi ODA APEC iaitu Malaysia, China, Indonesia, Mexico, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Thailand dan Vietnam. Calon-calon yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi lampiran hebahan dan juga dari laman sesawang https://www.apec.org.au/apec-australia-women-in-research Tarikh akhir permohonan adalah pada 17 Mei 2022.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 8175
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 19 April 2024, 16:56:01.