Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Pusat Pengasingan Institusi Pengajian Tinggi (IPT)

LATAR BELAKANG

Selaras dengan kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 1 Februari 2021 mengenai Kemasukan Semula Pelajar ke Kampus Secara Fizikal bermula 1 Mac 2021, adalah diputuskan bahawa pelajar berkeperluan dari zon PKP/PKPB yang mendapat kebenaran untuk kembali ke IPT DIWAJIBKAN untuk menjalani pengasingan di Pusat Pengasingan.

PUSAT PENGASINGAN

Pusat Pengasingan merupakan fasiliti yang disediakan oleh IPT sebagai zon pengawasan bagi memantau tahap kesihatan/risiko pelajar berkeperluan yang dibenarkan kembali ke kampus dari zon PKP/PKPB sebagai langkah pengawalan penularan pandemik COVID-19.

TEMPOH PENGASINGAN

Tempoh pengasingan adalah selama sepuluh (10) hari sebagaimana ditetapkan bermula dari hari ketibaan pelajar berkeperluan di kampus.

KOS PENGASINGAN

Segala kos bagi penempatan, pengurusan dan pengoperasian Pusat Pengasingan adalah di bawah tanggungan IPT masing-masing.

PENGURUSAN PELAJAR DI PUSAT PENGASINGAN

Pendaftaran Masuk

  1. Pendaftaran masuk pelajar ke Pusat Pengasingan adalah melalui proses pendaftaran yang ditetapkan, termasuk merekod maklumat diri dan melengkapkan borang pendaftaran.
  2. Pelajar perlu mengemukakan dokumen berkaitan semasa pendaftaran seperti Surat Panggilan IPT atau Surat Kebenaran Kembali Ke Kampus.

Semasa pengasingan

  1. Pelajar akan menjalani tempoh pengasingan selama sepuluh (10) hari.
  2. Penempatan adalah berdasarkan seorang pelajar setiap billik.
  3. Pelajar dibenarkan membeli makanan dan minuman di kafe yang beroperasi secara packed food atau take-away sahaja dan mengikut ketetapan masa yang diperuntukkan.
  4. Pelajar dinasihatkan agar sentiasa memantau tahap kesihatan kendiri dan melaporkan dengan segera kepada petugas sekiranya mula mengalami sebarang gejala.
  5. Petugas perlu membuat saringan kesihatan dua (2) kali sehari bagi memantau tahap kesihatan pelajar yang menjalani proses pengasingan.
  6. Pelajar hendaklah sentiasa mematuhi segala arahan dan nasihat petugas dari semasa ke semasa, termasuk:
    • Tidak dibenarkan keluar dari kawasan Pusat Pengasingan;
    • Tidak dibenarkan berkumpul atau melaksanakan aktiviti secara berkumpulan;
    • Tidak dibenarkan terlibat atau melaksanakan aktiviti riadah di luar bilik;
    • Perkhidmatan penghantaran makanan dari luar seperti Grabfood, Food Panda dan lain-lain penyedia perkhidmatan adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP keluar-masuk kawasan Pusat Pengasingan; dan
    • Tidak dibenarkan menerima pelawat.
  7. Sekiranya pelajar disahkan mempunyai gejala semasa tempoh pengasingan, maka pelajar perlu dirujuk segera ke Pusat Kesihatan Universiti dan/atau Pusat Kesihatan Daerah.
  8. Sekiranya pelajar yang menjalani pengasingan disahkan positif melalui ujian saringan COVID-19 (Tahap 1 dan 2), maka pelajar perlu menjalani kuarantin kendiri di Pusat Kuarantin yang disediakan.
  9. Pelajar dibenarkan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian sepanjang tempoh pengasingan.

Pendaftaran Keluar

  1. Proses daftar keluar pelajar dari Pusat Pengasingan adalah mengikut peraturan yang ditetapkan, termasuk dokumentasi yang diperlukan.
  2. Pelajar dibenarkan meninggalkan Pusat Pengasingan setelah tamat tempoh sepuluh (10) hari pengasingan dan dibenarkan meneruskan PdP secara hibrid.

SEMUA pelajar berkeperluan yang dibenarkan pulang ke kampus dan ditempatkan di Pusat Pengasingan adalah WAJIB mematuhi prosedur dan/atau proses yang ditetapkan, tertakluk kepada sebarang perubahan sebagaimana dimaklumkan sebaliknya.

PENGECUALIAN PENGASINGAN

Semua pelajar berkeperluan yang dibenarkan kembali ke IPT adalah tertakluk kepada arahan pengasingan yang telah ditetapkan. Sebarang permohonan pengecualian pengasingan hendaklah melalui pihak IPT dan mendapat kebenaran bertulis dari KPT.

Permohonan oleh Universiti Awam (UA) dan IPT Swasta perlu dipanjangkan kepada;

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi
Jabatan Pendidikan Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi
No. 2, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5,
62200 W.P. PUTRAJAYA
(u.p.: Bahagian Mahasiswa Holistik)

Permohonan oleh Politeknik dan Kolej Komuniti perlu dipanjangkan kepada;

Ketua Pengarah
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti
Kementerian Pengajian Tinggi
Galeria PjH, Jalan P4w, Persiaran Perdana
62100 W.P. PUTRAJAYA
(u.p.: Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar)

KUATKUASA

Pemakaian tatacara ini adalah berkuatkuasa mulai daripada 1 Mac 2021 sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh KPT.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
10 FEBRUARI 2021

Muat turun : pdf Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Pusat Pengasingan IPT (57 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 16167

Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.