logo kpt black

SOALAN LAZIM

KEMASUKAN PELAJAR INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (IPT) SECARA FIZIKAL BAGI SESI AKADEMIK TAHUN 2021/2022


UMUM

  1. Bilakah tarikh kemasukan pelajar secara fizikal di IPT?

    Kemasukan pelajar secara fizikal bermula pada 15 Oktober dan kemasukan ini berlaku secara berperingkat melalui penyelarasan pihak IPT.

  2. Siapakah kriteria pelajar yang diberi keutamaan kembali ke kampus secara fizikal?

    Kriteria pelajar yang diberi keutamaan untuk kembali ke kampus secara fizikal adalah:

    1. pelajar berkeperluan yang telah lengkap vaksinasi; dan

    2. pelajar yang telah lengkap proses vaksinasi dan melepasi tempoh keberkesanan.

  3. Siapakah yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti pelajar yang perlu kembali ke kampus?

    Pihak IPT adalah bertanggungjawab untuk mengenal pasti pelajar berdasarkan kategori pelajar yang telah diluluskan dan membenarkan mereka memasuki kampus.

  4. Adakah pelajar yang masih belum lengkap vaksinasi dibenarkan kembali ke kampus?

    Hanya pelajar yang telah lengkap proses vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus secara fizikal bagi meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

  5. Adakah pelajar berkeperluan yang masih belum lengkap vaksinasi dibenarkan kembali ke kampus?

    Pelajar berkeperluan yang masih belum lengkap vaksinasi dinasihatkan supaya segera melengkapkan proses vaksinasi melalui kemudahan ­walk-in yang disediakan oleh PPV.

    Bagi pelajar yang tidak mengambil vaksin atas faktor kesihatan, pelajar perlu menghubungi pihak IPT untuk tindakan penyelarasan.

  6. Adakah staf yang masih belum lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus?

    Hanya staf (akademik dan bukan akademik) yang telah lengkap vaksinasi dan memenuhi tempoh keberkesanan selepas divaksinasi sahaja yang dibenarkan untuk hadir ke kampus untuk bertugas.

  7. Adakah pelajar / staf yang belum lengkap proses vaksinasi boleh melaksanakan ujian swab / ujian kendiri untuk masuk ke kampus?

    Tidak boleh. Hanya pelajar / staf yang telah lengkap proses vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke kampus.

  8. Apakah yang dimaksudkan dengan pelajar yang lengkap proses vaksinasi?

    Pelajar yang lengkap proses vaksinasi merujuk kepada pelajar yang telah selesai mengambil dos vaksin dan memenuhi tempoh matang vaksinasi.

  9. Adakah pemilik / petugas kafeteria / kedai runcit / bank / farmasi di kampus perlu lengkap proses vaksinasi sebelum masuk ke kampus?

    Ya. Hanya pemilik / petugas kafeteria pemilik / petugas kafeteria / kedai runcit / bank / farmasi di kampus yang lengkap proses vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke kampus.

AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN (PdP)

  1. Bagaimana dengan kaedah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dalam tempoh Fasa Pembukaan Kampus?

    Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) akan dilaksanakan melalui dua (2) kaedah iaitu:

    1. Pelajar di kampus menjalani PdP secara hibrid; dan

    2. Pelajar yang masih berada di lokaliti masing-masing meneruskan PdP secara dalam talian.

  2. Adakah IPT boleh memilih untuk terus laksanakan PdP sepenuhnya secara dalam talian?

    IPT BOLEH memilih untuk terus laksanakan PdP sepenuhnya secara dalam talian berdasarkan kesesuaian program.

  3. Adakah aktiviti makmal atau aktiviti penyelidikan/ bengkel dibenarkan?

    Boleh, dengan syarat kapasiti penggunaan makmal-makmal/ kapasiti ruangan adalah mengikut SOP yang ditetapkan.

  4. Adakah pelajar diberi pilihan untuk meneruskan PdP secara dalam talian di rumah/ lokaliti masing-masing?

    Ya. Pelajar dibenarkan memilih untuk meneruskan PdP secara dalam talian di rumah/ lokaliti masing-masing bagi kursus/program yang dijalankan secara dalam talian.

PERGERAKAN PELAJAR

  1. Apakah kaedah pergerakan yang dibenarkan untuk pelajar kembali ke kampus?

    Pergerakan pelajar yang dibenarkan untuk kembali ke kampus mempunyai tiga (3) kaedah iaitu:

    1. menggunakan kenderaan sendiri;

    2. ibu bapa / penjaga menghantar sendiri pelajar dengan syarat ibu bapa / penjaga telah lengkap proses vaksinasi; dan

    3. perkhidmatan penerbangan.

  2. Adakah pelajar yang membawa kenderaan sendiri dibenarkan berkongsi kenderaan untuk pergerakan kembali ke kampus?

    Pelajar dibenarkan berkongsi kenderaan berdasarkan kapasiti kenderaan dengan memastikan pelajar dan penumpang telah lengkap proses vaksinasi.

  3. Adakah ibu bapa / penjaga dibenarkan menghantar pelajar kembali ke kampus?

    Ibu bapa / penjaga dibenarkan menghantar pelajar kembali ke kampus dengan syarat ibu bapa / penjaga telah lengkap proses vaksinasi.

  4. Adakah pelajar masih perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah / negeri dari pihak PDRM?

    Pelajar hanya menggunakan surat kebenaran kembali ke kampus yang disediakan oleh pihak IPT KECUALI pergerakan MASUK KE Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah / negeri dari pihak PDRM juga sebagai dokumen iringan.

  5. Adakah kos pergerakan pelajar ditanggung oleh Kementerian atau IPT?

    Segala kos yang terlibat dengan pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah di bawah tanggungan pelajar sendiri.

UJIAN SWAB / UJIAN KENDIRI COVID-19

  1. Adakah pelajar diwajibkan untuk menjalani ujian swab semasa kembali ke IPT di Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan?

    Ya. Pelajar yang memasuki Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan perlu menjalani ujian swab RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum pergerakan dan tertakluk kepada arahan semasa Kerajaan Negeri.

  2. Adakah kos ujian swab ditanggung oleh Kerajaan?

    Ya. Segala kos menjalani ujian swab RT-PCR adalah di bawah tanggungan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pelajar perlu menjalani ujian swab di klinik kesihatan di bawah seliaan KKM sahaja.

  3. Adakah IPT boleh melaksanakan ujian kendiri COVID-19 bagi pelajar yang telah lengkap proses vaksinasi sebagai langkah pencegahan?

    Boleh tetapi kos bagi pelaksanaan ujian ini adalah ditanggung oleh IPT.

  4. Adakah pelajar dihendaki menjalani kit ujian kendiri COVID-19 sebelum memasuki kampus secara fizikal?

    KPT menggalakkan pihak IPT untuk menyediakan kit ujian kendiri COVID-19 semasa proses kemasukan pelajar ke IPT.

PUSAT PENGASINGAN

  1. Adakah pelajar yang telah lengkap proses vaksinasi perlu ditempatkan di pusat pengasingan?

    Tidak perlu.

  2. Adakah IPT perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun Majlis Keselamatan Negara bagi mewujudkan zon Pusat Pengasingan di dalam IPT?

    Tidak perlu. Pusat Pengasingan adalah bukan seperti Pusat Kuarantin. Pusat Pengasingan merupakan fasiliti yang disediakan oleh IPT sebagai zon pengawasan bagi memantau tahap kesihatan.

KUARANTIN

  1. Adakah pelajar yang pulang ke negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan perlu menjalani kuarantin?

    Pelajar yang memasuki Sarawak adalah diwajibkan menjalani 14 hari kuarantin di IPT masing-masing.

    Pelajar yang telah lengkap proses vaksinasi yang memasuki Sabah adalah diwajibkan menjalani pemantauan kendiri melalui aplikasi MySejahtera.

    Pelajar yang memasuki Wilayah Persekutuan Labuan adalah diwajibkan menjalani kuarantin kendiri selama 5 hari di IPT masing-masing dan menjalani ujian swab RTK-Ag pada hari ke-4 .

  2. Adakah pelajar perlu membayar kos kuarantin?

    Kos kuarantin bagi pelajar yang pulang ke Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin adalah ditanggung oleh Kerajaan.

VAKSINASI

  1. Adakah pelajar dibenarkan memasuki Sarawak, sekiranya pelajar tidak dapat vaksinasi atas faktor kesihatan?

    Pelajar yang tidak dapat mengambil vaksin atas faktor kesihatan boleh memohon pengecualian untuk memasuki Sarawak dengan mengemukakan surat pengesahan daripada hospital atau klinik kesihatan Kerajaan sahaja.

  2. Siapa pelajar yang terlibat dalam proses pemberiaan vaksin secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terbuka?

    Semua pelajar yang berdaftar dan berstatus aktif / pelajar baharu yang menerima tawaran melanjutkan pengajian di IPT yang masih belum menerima sebarang temujanji penerimaan vaksin melalui aplikasi MySejahtera layak untuk menerima vaksin secara walk-in di PPV terbuka.

  3. Apa dokumentasi yang perlu dibawa oleh pelajar untuk proses vaksinasi secara walk-in di PPV terbuka?

    Pelajar baharu perlu membawa bersama surat tawaran dan kad pengenalan manakala pelajar IPT sedia ada perlu membawa bersama kad pelajar dan kad pengenalan masing-masing semasa hadir ke PPV terbuka bagi maksud penerimaan vaksin secara walk-in.

LAIN-LAIN PERKARA

  1. Bagaimana sekiranya pelajar yang tiba di kampus mempunyai bacaan suhu yang tinggi atau bergejala?

    Pelajar tersebut akan dirujuk ke Pusat Kesihatan Universiti/ Klinik/ Hospital berdekatan untuk menjalani saringan kesihatan yang lebih komprehensif atau menjalani ujian COVID-19 sekiranya keadaan memerlukan. IPT perlu menyediakan pusat pengasingan dan kuarantin bagi tujuan tersebut.

  2. Apakah langkah keselamatan yang harus diambil oleh pelajar yang tinggal di luar kampus/ rumah sewa?

    Pelajar luar kampus yang telah lengkap proses vaksinasi perlu menjalani saringan kesihatan dan menunjukkan Sijil Digital Vaksinasi semasa memasuki kampus.

  3. Adakah pelajar wajib menggunakan aplikasi MySejahtera di kampus?

    Ya. Pelajar wajib menggunakan aplikasi MySejahtera semasa pulang ke kampus untuk tujuan contact tracing pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Walau bagaimanapun, pelajar juga perlu mematuhi keperluan penggunaan aplikasi selain MySejahtera yang diwajibkan oleh IPT masing-masing.

PELAJAR ANTARABANGSA

  1. Apakah kategori pelajar antarabangsa yang dibenarkan masuk ke Malaysia?

    Kemasukan pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksin ke Malaysia adalah dibenarkan bagi kategori berikut:

    1. Semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari negara yang disekat;

    2. Pelajar antarabangsa warganegara United Kingdom (UK); dan

    3. Pelajar program Mobiliti dan Edutourism.

    Semua Tanggungan kepada pelajar antarabangsa yang sah kecuali dari negara yang disekat adalah dibenarkan masuk ke Malaysia.

    Semua Pelajar Antarabangsa serta Tanggungan perlu mengemukakan permohonan kebenaran masuk ke Malaysia untuk kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia melalui Education Malaysia Global Services (EMGS).

  1. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh pelajar antarabangsa dan tanggungan sebelum pergerakan kembali ke Malaysia jika dibenarkan masuk ke Malaysia?

    1. Pelajar antarabangsa dan tanggungan hendaklah telah lengkap vaksin COVID-19;
    2. Kemukakan permohonan kebenaran kemasukan (MyTravelPass) melalui sistem Education Malaysia Global Services (EMGS) di pautan: www.educationmalaysia.gov.my;
    3. Terima surat kelulusan kemasukan yang telah diluluskan oleh Ketua Pengarah Imigresen (KPI);
    4. Menjalani ujian pengesanan RT-PCR COVID-19 tujuh puluh dua (72) jam sebelum berlepas ke Malaysia dengan keputusan negatif;
    5. Memuat turun aplikasi MySejahtera di telefon pintar dan lengkapkan semua maklumat yang diperlukan tiga (3) hari sebelum ketibaan;
    6. Membuat bayaran caj penuh kuarantin dan ujian pengesanan COVID-19 secara dalam talian (online) melalui sistem MySafeTravel/ Aplikasi MyQr oleh MyEG di pautan www.myeg.gov.my dan mengemukakan slip pembayaran di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA); dan
    7. Mempamerkan surat kebenaran kemasukan semasa mendaftar masuk.
  2. Apakah maklumat-maklumat yang diperlukan sebelum mengemukakan permohonan kemasukan?

    Pelajar dan tanggungan adalah dikehendaki untuk mengemukakan maklumat – maklumat seperti berikut:

    1. Nama Penuh;
    2. Warganegara;
    3. Nombor Pasport;
    4. Institusi Pendidikan Tinggi;
    5. Maklumat Pengajian;
    6. Nombor Telefon;
    7. Emel;
    8. Lokasi Keberadaan Pelajar (negara semasa);
    9. Tarikh dan Maklumat Penerbangan;
    10. Borang persetujuan untuk menanggung kos rawatan dan lain-lain kos berkaitan sekiranya positif COVID-19;
    11. Sijil vaksinasi; dan
    12. Lain-lain maklumat berkaitan yang diperlukan dari semasa ke semasa.
  3. Adakah pelajar dibenarkan membuat permohonan kemasukan ke Malaysia terus kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)?

    TIDAK. Semua permohonan kemasukan ke Malaysia perlu mendapat pengesahan KPT melalui EMGS.

  4. Adakah pelajar dan tanggungan perlu menjalani Ujian Saringan COVID-19 di negara asal sebelum kemasukan ke Malaysia?

    Pelajar dan tanggungan wajib membuat ujian pengesanan RT-PCR COVID-19 tujuh puluh dua (72) jam dengan keputusan negatif sebelum berlepas ke Malaysia dan laporan ujian tersebut perlu ditunjukkan kepada pegawai bertugas di PMA semasa ketibaan.

  5. Adakah Laporan Ujian Saringan COVID-19 perlu diterjemahkan ke Bahasa Inggeris?

    Ya. Hanya Laporan Ujian Saringan COVID-19 yang diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris diterima bagi tujuan pemeriksaan pihak berkuasa semasa ketibaan di Malaysia.

  6. Adakah Keputusan Ujian Saringan COVID-19 yang melebihi tujuh puluh dua (72) Jam sebelum tarikh berlepas diterima di Pintu Masuk Antarabangsa?

    TIDAK. Keputusan Ujian Saringan COVID-19 yang melebihi tujuh puluh dua (72) jam sebelum tarikh berlepas tidak sah. Pelajar diwajibkan untuk membuat ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR) dalam masa tujuh puluh dua (72) sebelum berlepas ke Malaysia.

  7. Adakah pelajar yang kembali dari luar negara perlu menjalani kuarantin wajib sebelum kembali ke kampus?

    Ya. Semua pelajar dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin wajib di Stesen Kuarantin yang telah ditetapkan, iaitu selama empat belas (14) hari. Tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama 7 hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang telah dijalankan pada hari ke-14. Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama.

  8. Bila Ujian Saringan COVID-19 akan dilaksanakan?

    Pelajar perlu menjalani Ujian Saringan RT-PCR COVID-19 tujuh puluh dua (72) jam sebelum ketibaan di Malaysia dan akan menjalani saringan kesihatan sekali lagi di Kaunter Saringan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di PMA semasa tiba di Lapangan Terbang. Pelajar hanya dibenarkan masuk ke Kaunter Pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia setelah selesai Ujian Saringan COVID-19 dan pelajar tidak menunjukkan gejala. Ujian saringan seterusnya dijalankan pada hari ke-10. Bagi pelajar yang menjalani kuarantin tambahan, ujian saringan yang dijalankan adalah pada hari ke-18, sekiranya perlu.

  9. Adakah implikasi kos Ujian Saringan COVID-19 ditanggung oleh kerajaan?

    TIDAK. Semua implikasi kos Ujian Saringan COVID-19 semasa urusan kemasukan ke Malaysia dan sehingga tamat tempoh kuarantin perlu ditanggung oleh pelajar.

  10. Adakah pelajar dibenarkan untuk memilih Stesen Kuarantin?

    TIDAK. Stesen Kuarantin akan ditentukan oleh pihak NADMA.

  11. Apakah tanggungjawab pelajar semasa menjalani tempoh kuarantin?

    Pelajar perlu memastikan perkara berikut:

    1. Pelajar menjalani ujian saringan seterusnya:

      1. Pelajar yang menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari akan mengambil ujian saringan RT-PCR COVID-19 pada hari ke-10 tempoh kuarantin; dan

      2. Pelajar yang dilanjutkan tempoh kuarantin selama 7 hari lagi akan menjalani ujian saringan RT-PCR COVID-19 pada hari ke-18 sekiranya perlu.

    2. Pelajar perlu membuat penilaian kendiri setiap hari melalui Home Assessment Tool dalam aplikasi MySejahtera selama tempoh kuarantin dari tarikh ketibaan.

  12. Apakah tanggungjawab IPT semasa pelajar menjalani tempoh kuarantin?

    IPT perlu memastikan perkara berikut:

    1. IPT perlu mengenal pasti lokasi Stesen Kuarantin pelajar masing-masing melalui EMGS; dan

    2. IPT perlu membuat perancangan yang teliti bagi memastikan urusan pengambilan pelajar dari Stesen Kuarantin ke IPT masing-masing berjalan dengan lancar dan teratur.

  13. Adakah kos kuarantin ditanggung oleh kerajaan?

    TIDAK. Semua implikasi kewangan ditanggung oleh pelajar.

  14. Berapakah jangkaan kos yang perlu dibayar oleh pelajar?

    CAJ BAGI UJIAN PENGESANAN COVID-19 DI PINTU MASUK ANTARABANGSA DAN FASILITI KKM
    UJIAN PENGESAHAN COVID-19FI
    RT-PCR RM250.00
    KOS KUARANTIN
    KOS PENGINAPAN/PENGOPERASIANFI
    Kos penginapan
    (RM150.00/sehari)
    RM2,100.00 (kuarantin 14 hari)
    RM3,150 (kuarantin 21 hari)
    Caj Tetap
    (Pengoperasian Stesen Kuarantin)
    RM2,600.00
  15. Bilakah bayaran Ujian Saringan COVID-19 dan Kos Kuarantin perlu dijelaskan?

    Bayaran Ujian Saringan COVID-19 dan Kos Kuarantin perlu dijelaskan sebelum kemasukan ke Malaysia secara dalam talian (online) dan slip pembayaran dikemukakan kepada Petugas di PMA.

  16. Adakah pelajar dibenarkan bergerak sendiri ke IPT selepas tamat tempoh kuarantin?

    TIDAK. Pelajar tidak dibenarkan bergerak ke IPT selepas tamat tempoh kuarantin tanpa pengawasan dan pemantauan IPT.

  17. Adakah pelajar dibenarkan untuk memohon untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman (Home Surveillance Order (HSO)?

    Pelajar boleh dipertimbangkan permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman bergantung kepada kelulusan KKM. Penilaian risiko akan dibuat bagi setiap permohonan yang diterima. Penilaian risiko ini mengambilkira penilaian status vaksin, risiko kebolehjangkitan COVID-19 serta kesesuaian rumah atau tempat kediaman sebagai tempat kuarantin. Permohonan Home Surveillance Order (HSO) perlu dihantar beberapa hari sebelum tarikh pelepasan kepada alamat e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. untuk kelulusan KKM.

  18. Adakah pelajar transit untuk ke Sabah atau Sarawak perlu menjalani Ujian Saringan COVID-19 di PMA?

    Ya. Pelajar yang transit di KLIA/KLIA2 dan akan menaiki kapal terbang ke Sabah atau Sarawak perlu menjalani Ujian Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa di KLIA/KLIA2.

  19. Adakah pelajar transit untuk ke Sabah dan Sarawak dibenarkan untuk menjalani kuarantin di Stesen Kuarantin sebaik sahaja tiba di Sabah atau Sarawak atau perlu menjalani kuarantin di Stesen Kuarantin di Semenanjung Malaysia?

    Pelajar TIDAK DIBENARKAN untuk transit ke mana-mana destinasi dalam negara termasuk WP Labuan, Sabah dan Sarawak. Pelajar perlu menjalani kuarantin di PMA di mana pelajar tiba sebelum meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju. Perjalanan seterusnya adalah tertakluk kepada arahan pihak Kerajaan Negeri yang dituju.

    Walau bagaimanapun, bagi pelajar yang dibenarkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman (Home Surveillance Order (HSO), dibenarkan untuk transit ke mana-mana destinasi dalam negara, dalam tempoh masa 24 jam.

  20. Apakah tindakan yang perlu diambil selepas pelajar antarabangsa selesai kuarantin wajib yang ditetapkan oleh NADMA?

    IPT perlu mengambil pelajar yang telah tamat tempoh kuarantin wajib dan meneruskan pengajian di kampus. Surat pengesahan tamat tempoh kuarantin (Release Order) boleh digunakan untuk membuat perjalanan merentasi Daerah dan Negeri.

  21. Adakah pelajar antarabangsa perlu menjalani pengasingan di IPT?

    TIDAK. Pelajar antarabangsa hanya perlu menjalani kuarantin wajib di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh NADMA.

  22. Adakah pelajar antarabangsa perlu mendapatkan surat pengesahan dari pihak Kedutaan sekiranya ingin meninggalkan Malaysia?

    TIDAK PERLU. Pelajar hanya perlu mendapatkan surat kebenaran untuk merentas Daerah/Negeri daripada Balai Polis yang berdekatan. IPT diminta untuk membantu pelajar bagi urusan ini.

  23. Adakah pelajar antarabangsa yang telah tamat tempoh kuarantin perlu mendapatkan surat kebenaran dari pihak polis untuk merentas Daerah/Sempadan?

    TIDAK PERLU. Pihak NADMA akan memberikan surat pengesahan tamat tempoh kuarantin (Release Order) kepada pelajar dan boleh digunakan untuk ditunjukkan kepada petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika merentas Daerah/Negeri untuk bergerak ke IPT masing-masing.

  24. Bagaimanakah pelajar ingin membuat pengesahan Sijil Vaksin COVID-19 dari luar negara?

    Pelajar perlu membuat pengesahan vaksinasi daripada KKM mengikut prosedur yang ditetapkan untuk mendapatkan sijil digital vaksinasi.

Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, sila hubungi:

  1. Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing; atau
  2. Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777 / 6949 / 6623 / 6628.

Dokumen ini akan dikemaskini berdasarkan arahan semasa pihak Kerajaan dari semasa ke semasa.

Kemaskini 14 September 2021

Muat Turun:

pdf FAQ - Kemasukan Pelajar IPT Secara Fizikal Bagi Sesi Akademik Tahun 2021/2022 (276 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 82851