logo kpt black

SOALAN LAZIM

PERGERAKAN PELAJAR INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (IPT) PULANG SEMPENA CUTI SEMESTER 2020/2021


  1. Adakah pelajar yang masih berada di kampus Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dibenarkan pulang selepas tamat pengajian / semester akademik?

    Ya, pelajar yang telah tamat pengajian / berakhir semester akademik dan masih berada di kampus IPT adalah dibenarkan pulang ke kampung halaman.

  2. Bilakah tarikh pelajar dibenarkan memulakan pergerakan pulang ke kampung?

    Pergerakan pelajar di kampus pulang ke kampung adalah dibenarkan bermula 12 Julai 2021.

    Pihak IPT akan menyelaraskan jadual pergerakan pelajar secara berfasa.

  3. Adakah pelajar dari IPT di kawasan PKPD dibenarkan pulang?

    Tidak. Pelajar yang berada di IPT dalam lokaliti PKPD adalah tidak dibenarkan bergerak pulang sehingga tamat tempoh PKPD.

  4. Adakah pelajar dibenarkan pulang ke destinasi di kawasan PKPD?

    Tidak. Pelajar tidak dibenarkan bergerak pulang ke destinasi dalam lokaliti PKPD sehingga tamat tempoh PKPD.

  5. Adakah pelajar diwajibkan untuk menjalani ujian swab semasa pulang ke kampung halaman?

    Tidak. Hanya pelajar yang memasuki Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kelantan sahaja yang perlu menjalani ujian swab dan tertakluk kepada arahan semasa Kerajaan Negeri.

    Pelajar yang memasuki Sabah adalah diwajibkan menjalani Ujian Swab RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum pergerakan ke Sabah.

    Pelajar yang memasuki Sarawak adalah diwajibkan menjalani Ujian Swab RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum pergerakan ke Sarawak.

    Pelajar yang memasuki Wilayah Persekutuan Labuan adalah diwajibkan menjalani Ujian Swab RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum pergerakan ke Wilayah Persekutuan Labuan.

    Pelajar yang memasuki Kelantan perlu menjalani ujian swab (RT-PCR atau RTK-Ag) dalam tempoh 72 jam sebelum pergerakan. Sekiranya pelajar telah memulakan pergerakan, ujian swab akan dibuat di sempadan negeri Kelantan dan kos adalah di bawah tanggungan Kerajaan Negeri

    Semua pergerakan dalam negeri keluar / masuk Bahagian Bintulu, diwajibkan menjalani Ujian Swab RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum pergerakan.

  6. Adakah kos ujian swab ditanggung oleh Kerajaan?

    Ya. Segala kos menjalani ujian swab RT-PCR adalah di bawah tanggungan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pelajar perlu menjalani ujian swab di klinik kesihatan di bawah seliaan KKM sahaja.

  7. Apakah dokumen yang perlu dibawa bersama oleh pelajar yang hadir ke fasiliti kesihatan KKM bagi menjalani ujian swab RT-PCR?

    Pelajar perlu membawa bersama kad matrik dan Surat Pelepasan/Kebenaran Pulang oleh IPT.

  8. Adakah pelajar boleh membuat tuntutan balik pembayaran sekiranya ujian swab dijalankan di klinik/hospital swasta?

    Ujian swab yang dijalankan di klinik / hospital swasta TIDAK tidak boleh dituntut semula pembayaran dan di bawah tanggungan pelajar sendiri.

  9. Adakah kos pergerakan pelajar ditanggung oleh Kementerian atau IPT?

    Segala kos yang terlibat dengan pergerakan pulang pelajar ke kampung adalah di bawah tanggungan pelajar sendiri.

  10. Adakah pelajar dibenarkan pulang dari / ke Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan?

    Ya, dibenarkan dengan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

  11. Apakah kaedah pergerakan yang dibenarkan untuk pelajar pulang ke kampung?

    Pergerakan pelajar pulang ke kampung dari kampus adalah dibenarkan dengan dua (2) kaedah iaitu:

    1. IPT membantu menguruskan pergerakan pelajar menggunakan bas IPT atau bas sewa ke lokaliti atau checkpoint di kawasan / negeri tertentu; dan
    2. menggunakan kenderaan sendiri.
  12. Adakah pelajar dibenarkan menggunakan kenderaan awam untuk pergerakan pulang ke kampung halaman?

    Pelajar TIDAK dibenarkan menggunakan kenderaan awam kecuali perkhidmatan penerbangan.

  13. Adakah ibu bapa / penjaga dibenarkan mengambil pelajar di kampus bagi tujuan pergerakan pulang ke kampung?

    Ibu bapa / penjaga TIDAK dibenarkan merentas negeri bagi mengambil pelajar di kampus bagi tujuan pergerakan pulang ke kampung.

  14. Adakah pelajar masih perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah / negeri dari pihak PDRM?

    Pelajar hanya menggunakan surat pelepasan perjalanan rentas daerah / negeri bagi tujuan pergerakan pulang sempena cuti semester yang disediakan oleh pihak IPT, kecuali pergerakan MASUK KE Sarawak dan Sabah yang perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah / negeri dari pihak PDRM juga sebagai dokumen iringan.

  15. Adakah ibu bapa / penjaga masih perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah daripada pihak PDRM bagi menjemput pelajar di checkpoint yang telah ditentukan oleh IPT?

    Tidak. Ibu bapa / penjaga boleh menggunakan surat yang diberikan oleh IPT untuk menjemput pelajar di checkpoint yang telah ditentukan oleh IPT.

  16. Adakah ibu bapa / penjaga dibenarkan untuk menjemput pelajar di lapangan terbang di Sabah?

    Ya. Ibu bapa / penjaga boleh menggunakan surat yang diberikan oleh IPT untuk menjemput pelajar di lapangan terbang di Sabah (sekiranya dibenarkan menjalani kuarantin kendiri di kediaman) dan dari pusat kuarantin selepas selesai menjalani kuarantin.

  17. Adakah ibu bapa / penjaga dibenarkan untuk menjemput pelajar di lapangan terbang di Wilayah Persekutuan Labuan?

    Ya. Ibu bapa / penjaga boleh menggunakan surat yang diberikan oleh IPT untuk menjemput pelajar di lapangan terbang di Wilayah Persekutuan Labuan (sekiranya dibenarkan menjalani kuarantin kendiri di kediaman) dan dari pusat kuarantin selepas selesai menjalani kuarantin.

  18. Adakah ibu bapa / penjaga dibenarkan untuk menjemput pelajar di pusat kuarantin di Sarawak?

    Ya. Ibu bapa / penjaga boleh menggunakan surat yang diberikan oleh IPT untuk menjemput pelajar dari pusat kuarantin di Sarawak.

  19. Adakah pelajar (penduduk asal) yang pulang ke destinasi mereka perlu menjalani proses kuarantin?

    Bagi pelajar yang pulang ke Sabah, mereka perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang ditetapkan atau kediaman sendiri (tertakluk kepada pertimbangan/arahan semasa Kerajaan Negeri) selama 14 hari.

    Bagi pelajar yang pulang ke Sarawak, mereka perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang ditetapkan selama 14 hari. Walau bagaimanapun, pertimbangan untuk meneruskan kuarantin di kediaman masing-masing boleh dibenarkan sekiranya keputusan ujian swab kedua pada hari ke-10 adalah negatif.

    Bagi pelajar yang pulang ke Wilayah Persekutuan Labuan, mereka perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang ditetapkan  atau kediaman sendiri (tertakluk kepada pertimbangan/arahan semasa pihak berkuasa) selama 10 hari.

  20. Adakah pelajar yang pulang ke negeri Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan perlu membayar kos kuarantin?

    Kos kuarantin bagi pelajar yang pulang ke Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin adalah ditanggung oleh Kerajaan.

  21. Adakah pelajar boleh memilih untuk terus kekal di kampus?

    Ya, pelajar boleh memilih untuk terus kekal berada di kampus dengan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan IPT.

  22. Adakah pelajar IPT yang tamat menjalani latihan industri dibenarkan untuk pulang?

    Ya. Pelajar yang tamat latihan industri dibenarkan pulang dari lokaliti mereka (kecuali kawasan PKPD).

  23. Adakah ibu bapa / penjaga pelajar yang telah tamat pengajian dibenarkan ke IPT bagi urusan mengambil barang?

    Ibu bapa atau penjaga TIDAK dibenarkan merentas negeri untuk urusan mengambil barang pelajar yang telah tamat pengajian sehingga pemakluman rasmi berhubung kebenaran tarikh bagi urusan ini yang akan ditentukan kelak.

  24. Adakah IPT yang berada di dalam kawasan PKPD dibenarkan untuk melaksanakan peperiksaan antarabangsa atau badan profesional?

    Ya. IPT yang berada di dalam kawasan PKPD dibenarkan untuk melaksanakan peperiksaan antarabangsa atau badan profesional.

  25. Adakah pelajar di luar kawasan PKPD dibenarkan untuk merentas daerah / negeri untuk menduduki peperiksaan antarabangsa atau badan profesional di IPT yang berada di dalam kawasan PKPD?

    Ya. Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran merentas daerah / negeri dari pihak PDRM dengan membawa bersama slip peperiksaan / surat panggilan peperiksaan tersebut.

  26. Adakah staf IPT dibenarkan untuk rentas daerah / negeri untuk bertugas bagi pelaksanaan peperiksaan antarabangsa atau badan profesional di kawasan PKPD?

    Ya. Staf perlu mendapatkan Borang Kebenaran Bertugas Institusi Pendidikan Tinggi dari IPT masing-masing.

Sebarang maklumat atau pertanyaan lanjut, sila hubungi:

  1. Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing; atau
  2. Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777 / 6949 / 6623 / 6628.

Dokumen ini akan dikemaskini berdasarkan arahan semasa pihak Kerajaan dari semasa ke semasa.
Kemaskini 18 Julai 2021

Muat Turun

pdf FAQ - Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Semester 2020/2021 (141 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 41817

Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.