126 Warga KPT Terima APC 2023

126 Warga KPT Terima APC 2023

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan keyakinannya terhadap kemampuan warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menjadikan kementerian tersebut antara yang akan disegani.

Jelasnya, keyakinan tersebut bersandarkan keunikan warga KPT yang terdiri daripada dua (2) komponen iaitu kakitangan yang komited, sambil disokong oleh para pentadbir dari dunia akademia yang memiliki 'brain' (kebijaksanaan) dan kepakaran.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Tahun 2023 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini pagi tadi.

Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan peri pentingnya membina semangat kerja berpasukan dalam mencapai misi kecemerlangan melalui konsep-konsep seperti 'Bias For Action'; dan menerapkan semangat fastabiqul khairat (berlumba-lumba melakukan kebaikan) dalam mencapai al-Falah (kejayaan).

Malah, beliau turut mengungkap kisah kejayaan Toyota hari ini hasil daripada penerapan sikap hormat menghormati sesama kakitangan serta amalan 'kaizen' (penambahbaikan berterusan) dalam budaya kerja mereka.

Tambahnya lagi, pembinaan pasukan yang hebat turut memerlukan para ahli yang lengkap melengkapi dengan masing-masing memiliki kekuatan dan kelebihan yang mampu memberi manfaat kepada sesebuah organisasi.

Pada majlis pagi tadi, seramai 126 orang kakitangan KPT; Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT); Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK); serta Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) telah diberi penghargaan atas perkhidmatan yang cemerlang sepanjang tahun lalu.

Para pegawai yang telah menerima pengiktirafan kali ini diharap dapat terus memberikan komitmen serta kesungguhan dalam setiap tugasan yang diberikan yang kemudiannya dapat menjadi ikutan serta tauladan kepada rakan sekerja lain dalam mencapai ekosistem kerja yang cemerlang.

"Semoga dengan anugerah yang disampaikan pada hari ini akan meningkatkan lagi iltizam dan komitmen (para penerima) kepada Kementerian", ucap beliau.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapa Sakmud; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT yang menjalankan fungsi Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBrs. Encik Mohamad Azhan Md Amir; serta para pengurusan tertinggi KPT.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 946
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 30 Oktober 2024, 10:30:11.

logo-sirim