Perasmian Studio Digital Dato’ Mansor bin Haji Othman di Nibong Tebal, Pulau Pinang

YB Dato’ Mansor Haji Othman, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah merasmikan Studio Digital Dato’ Mansor bin Haji Othman di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.

Ianya akan memberi manfaat kepada 30,000 orang murid sekolah rendah dan menengah serta 2,500 orang guru di Daerah Seberang Perai Selatan.

Idea pembinaan studio digital ini tercetus ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat daripada penularan wabak Covid-19. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi implikasi besar kepada sistem pengajaran dan pembelajaran di seluruh negara.

Justeru, dengan adanya studio digital ini bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bentuk video berkualiti tinggi dapat dihasilkan melalui proses rakaman. Para pelajar dapat mengakses bahan pengajaran dengan lebih mudah dan tidak terbatas dengan masa serta dapat mengikuti pengajaran pada bila-bila masa.

Institusi Pendidikan tempatan lain seperti Kolej Komuniti, Kolej Vokasional dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Daerah Seberang Perai Selatan khasnya dan di Pulau Pinang amnya juga turut berpeluang menggunakan kemudahan studio digital ini.

Dalam majlis yang sama, YB Timbalan Menteri turut berkongsi berkenaan inisiatif Malaysia Prihatin dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Turut hadir ialah YBrs. Tn. Hj. Norhassim Hj. Mahat, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5071
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.