3 Fokus Utama Amanat KSN 2025: Reformasi Perkhidmatan Awam Sebagai Keutamaan

3 Fokus Utama Amanat KSN 2025: Reformasi Perkhidmatan Awam Sebagai Keutamaan

Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melalui perutusannya dalam Majlis Amanat Tahun 2025 petang tadi telah menekankan tiga (3) fokus utama bagi tahun ini yang bertujuan memperkukuhkan agenda reformasi perkhidmatan awam yang dilihat sebagai keperluan mendesak bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat lebih berkesan dan mampan.

Bertemakan "Reformasi: Satu Kemestian", beliau menggariskan tiga (3) aspek utama yang perlu diberi perhatian sepanjang tahun ini, iaitu:

1. Memantapkan Pemboleh Daya Reformasi

Pemboleh daya seperti komunikasi total dan pengurusan projek serta kewangan yang cekap ditekankan untuk memastikan pelaksanaan dasar yang lebih proaktif dan strategik. Antara inisiatif utama yang bakal diperkenalkan ialah Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (IPPA) yang baharu, menggantikan MyGPI serta pemantapan agenda pengantarabangsaan dengan fokus pada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

2. Memperkukuhkan Nilai dan Tatakelola

Perkhidmatan awam diingatkan agar menanamkan nilai-nilai Malaysia MADANI melalui latihan kendiri bersijil dan program kecekapan kendalian seperti Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Awam (ILTIZAM). YBhg. Tan Sri KSN turut menyeru penjawat awam untuk lebih berintegriti dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran persekitaran global.

3. Mempertingkatkan Sinergi Strategik Persekutuan - Negeri dan Antarabangsa

Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri ditekankan melalui pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur. Selain itu, langkah memanfaatkan hubungan antarabangsa akan dipertingkatkan bagi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam indeks global seperti Corruption Perception Index (CPI) dan IMD World Competitiveness Ranking.

YBhg. Tan Sri KSN turut menegaskan pentingnya komunikasi yang telus dan efektif terutama dalam menangkis penyebaran maklumat palsu yang boleh mencabar kredibiliti kerajaan.

“Reformasi adalah satu kemestian untuk kita menjadi lebih baik. Ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh daripada semua penjawat awam,” ujar beliau.

Amanat tersebut turut menyeru penjawat awam untuk terus mengutamakan nilai ihsan, keikhlasan dan profesionalisme dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Beliau turut mengingatkan agar setiap sasaran reformasi dilaksanakan dengan tindakan susulan yang konsisten, menegaskan bahawa hanya melalui usaha bersama, aspirasi Malaysia MADANI dapat direalisasikan dengan jayanya.

Pada majlis yang sama, YBhg. Tan Sri KSN telah turut melancarkan dua (2) dokumen rasmi kerajaan yang baharu iaitu Surat Pekeliling Bil. 1/2025: Garis Panduan Pengurusan Kesinambungan Perkhidmatan Dalam Perkhidmatan Awam; serta Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bil. 1/2025: Pemantapan Pengurusan Perhubungan Pelanggan Sektor Awam.

Majlis tadi telah dihadiri oleh Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian serta Setiausaha Kerajaan Negeri termasuklah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), YBhg. Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang serta para pengurusan tertinggi, Jabatan, IPTA serta agensi di bawah KPT. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 295
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 07 Februari 2025, 01:10:02.

logo-sirim