4 Aspek Hala Tuju Baharu Pendidikan Tinggi Negara: Strategi Ke Arah Keberdayasaingan Global

Malaysia perlu berani melakukan perubahan dalam sistem pendidikan tinggi bagi memastikan graduan negara berdaya saing di peringkat global, tegas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim dalam Program Pengukuhan Hala Tuju Pendidikan Tinggi (HTPT) 2025 di sini petang tadi.
Dalam ucapannya, beliau menekankan keperluan transformasi pendidikan tinggi bagi menghadapi cabaran dunia moden, termasuk perubahan teknologi pesat dan ketidaktentuan ekonomi global.
"Kita tidak boleh terus menggunakan pendekatan lama. Pendidikan tinggi Malaysia mesti lebih fleksibel, inklusif, dan berorientasikan kemahiran," katanya.
Beliau turut menggariskan empat (4) aspek utama dalam hala tuju baharu pendidikan tinggi negara: kebolehpasaran graduan melalui pendidikan berasaskan kemahiran, pembelajaran sepanjang hayat, penyelidikan dan inovasi, serta pendidikan tinggi yang inklusif dan mampan.
Bagi memastikan graduan bersedia menghadapi cabaran masa depan, beliau menekankan keperluan memperkukuh TVET, membangun kurikulum fleksibel berasaskan keperluan industri, serta memperluaskan akses kepada model micro-credential dan pembelajaran modular.
"Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) mesti menjadi hab inovasi dan keusahawanan, bukan sekadar tempat mendapatkan ijazah," tambah beliau, merujuk kepada kepentingan memperkasa penyelidikan dan komersialisasi inovasi demi pembangunan ekonomi negara.
Dianjurkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian Pendidikan Tinggi (HEAD) KPT, program ini bertujuan untuk menyelaras dan menyampaikan maklumat pelaksanaan Program Signature dan Agenda Transformasi HTPT 2025 kepada pelaksana.
Selain itu, ia juga bakal menetapkan definisi operasi, mekanisme pengukuran, dan sasaran bagi setiap program dan agenda tersebut.
HTPT 2025 ini melibatkan penyertaan seramai 150 orang pegawai dalam kalangan Pengurusan Tertinggi Kementerian, Ketua Jabatan, Ketua Agensi di bawah KPT, Naib Canselor, Setiausaha/ Pengarah Bahagian, Pegawai Kementerian/Jabatan, Pengarah Strategik Universiti Awam serta Pengarah Politeknik.
Di akhir ucapannya, YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim menyeru semua pihak dalam ekosistem pendidikan tinggi untuk terus bekerjasama bagi merealisasikan agenda transformasi ini.
"Dengan visi yang jelas dan komitmen berterusan, saya yakin Malaysia mampu menjadi hab pendidikan tinggi bertaraf dunia," katanya sebelum mengakhiri ucapan dengan harapan agar Program Pengukuhan HTPT 2025 mencapai objektifnya dalam menetapkan strategi terbaik untuk sistem pendidikan tinggi negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 568