ACPES 2024, Platform Bincang Pemerkasaan Bidang Pendidikan Jasmani Dan Sukan IPT Peringkat ASEAN

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang diwakili oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud telah menyempunakan majlis penutup Persidangan Majlis Pendidikan Jasmani dan Sukan ASEAN 2024 (ASEAN Council of Physical Education and Sport 2024 - ACPES 2024) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pagi tadi.
Persidangan tiga (3) hari bermula 18 September lalu, merupakan anjuran bersama antara Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi dengan Fakulti Pendidikan UiTM bagi berdiskusi serta membentangkan kertas penyelidikan, cadangan, termasuk amalan terbaik serta isu yang berkaitan bidang sukan dan aktiviti fizikal di sektor pendidikan tinggi peringkat ASEAN.
Kira-kira 300 orang peserta hadir, bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari semua negara ASEAN serta dari India, Jepun dan Korea Selatan pada edisi ke-10 ACPES ini yang bertemakan "Kuasa Pendidikan Jasmani dan Sukan: Menyegarkan, Memberi Tenaga, dan Mewujudkan" (The Power of Physical Education and Sport: Revitalising, Energising, and Actualizing).
Menurut YB Menteri, penganjuran persidangan ini adalah selaras dengan usaha kolektif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi melalui pemerkasaan bakat dan pengetahuan untuk kesejahteraan masyarakat ke arah pembangunan negara yang mampan.
"Dalam dunia yang berkembang pesat hari ini, aktiviti pemulihan (revitalization) adalah penting untuk memastikan sektor pendidikan tinggi kita kekal relevan dan berkesan. Oleh itu, pendidikan jasmani dan sukan dilihat memainkan peranan yang cukup penting dalam proses pemulihan ini.
"ACPES 2024 merupakan platform untuk meneroka bagaimana kita boleh memanfaatkan kuasa sukan untuk peningkatan bakat di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kita".
Katanya lagi, melalui program sukan yang menerapkan elemen kepimpinan, penglibatan sivik, dan tanggungjawab sosial, KPT dapat mencapai matlamatnya untuk memperkasakan pelajar menjadi warganegara aktif (active citizen) yang berupaya menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Selain itu, aktiviti pendidikan jasmani dan sukan turut memainkan peranan penting dalam menggalakkan keterangkuman dan kepelbagaian dalam ekosistem pendidikan tinggi, ucap beliau.
Pada majlis itu tadi juga, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkesempatan menyaksikan pemeteraian dan pertukaran Memorandum Kerjasama (MoU) antara UiTM bagi membangunkan bidang pendidikan jasmani dan sukan dengan universiti-universiti rantau ASEAN yang lain.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi; serta Presiden ACPES, Prof. Madya Dr. Koh Koon Teck.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2285