ACWAL 2025: Perkukuh Peranan Wanita Dalam Kepimpinan Pendidikan Tinggi

ACWAL 2025: Perkukuh Peranan Wanita Dalam Kepimpinan Pendidikan Tinggi

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UTM Holdings dan CITY University Malaysia, telah menganjurkan Persidangan Kepimpinan Akademik Wanita ASEAN (ACWAL) 2025 di Royale Chulan, Kuala Lumpur.

Persidangan yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud dengan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad telah menghimpunkan lebih 300 peserta dari negara-negara anggota ASEAN dan antarabangsa sekali gus mencerminkan

komitmen bersama dalam memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan pendidikan tinggi.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah menekankan peranan wanita amat penting dalam memastikan aspek keterangkuman dalam ASEAN direalisasikan, agar kumpulan terbesar ini tidak ketinggalan.

Jelasnya, wanita bukan sahaja perlu berperanan di peringkat keluarga, tetapi juga di peringkat komuniti, institusi, dan negara, merentasi semua sektor.

Dalam konteks ini, pemimpin wanita dalam bidang akademik memainkan peranan penting dalam memacu inovasi dan kelestarian institusi pendidikan tinggi melalui perspektif serta kepakaran unik mereka.

Dalam pada itu, ACWAL 2025 menampilkan barisan panel terkemuka dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Timor-Leste, Kemboja dan Qatar bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan kepimpinan wanita dalam pendidikan tinggi.

Selain itu, ACWAL 2025 turut menyediakan platform kepada pemimpin wanita untuk berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam kepimpinan akademik.

Tidak ketinggalan, persidangan ini juga meneroka strategi kepimpinan berasaskan nilai ASEAN dan konsep Malaysia MADANI dalam usaha membina daya tahan institusi pendidikan tinggi di rantau ini. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 272
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim