Aktiviti Kerja Berpasukan Perkukuh Semangat Ukhuwah Dan Kepimpinan Pengurusan Hal Ehwal Pelajar IPT Awam

Aktiviti Kerja Berpasukan Perkukuh Semangat Ukhuwah Dan Kepimpinan Pengurusan Hal Ehwal Pelajar IPT Awam

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim turut bersama para Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menyertai aktiviti kerja berpasukan sempena Mesyuarat Perancangan Strategik Hal Ehwal Pelajar Bersama YB Menteri Pendidikan Tinggi.

Aktiviti yang dirangka dalam suasana santai ini bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan pengurusan Hal Ehwal Pelajar (HEP) serta menyemai budaya kerja berpasukan sebagai teras dalam tadbir urus pelajar di peringkat institusi.

Program ini turut mendapat dukungan penuh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang menyifatkan komitmen tinggi para peserta sebagai bukti bahawa semangat kebersamaan adalah asas kepada keberkesanan kepimpinan.

YBhg. Datuk Dr. Anesee Ibrahim dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada para peserta dan urus setia iaitu Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atas kejayaan penganjuran aktiviti tersebut yang berlangsung dalam suasana penuh ceria dan kebersamaan.

Beliau turut menyifatkan keterlibatan secara langsung pengurusan tertinggi universiti dalam program seperti ini sebagai satu langkah signifikan untuk memperkukuh hubungan, membina kepercayaan serta menyemai budaya kerja berpasukan yang mampan dalam kalangan pemimpin institusi pendidikan tinggi.

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada pengisian dua (2) hari program strategik yang melibatkan pembentangan amalan terbaik pengurusan pelajar serta perbincangan berkenaan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025–2035 yang sedang dirangka oleh KPT dengan penglibatan menyeluruh daripada semua pemegang taruh universiti.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 146
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 15 Mei 2025, 10:21:07.

logo-sirim