Ancaman Dunia Maya, Kesedaran Diri, Bahaya 'Deepfake', 'Digital Resilience' : Jadi Intipati Amanat YB Menteri Dalam Perhimpunan Bulan Oktober 2024 KPT

Ancaman Dunia Maya, Kesedaran Diri, Bahaya 'Deepfake', 'Digital Resilience' : Jadi Intipati Amanat YB Menteri Dalam  Perhimpunan Bulan Oktober 2024 KPT

Pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi Oktober 2024 petang tadi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah memberi penekanan serius terhadap ancaman dunia maya, khususnya isu buli siber yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi generasi muda mutakhir ini.

Menurut beliau, ancaman ini perlu diberikan perhatian segera kerana ia memberi impak besar terhadap mentaliti dan kesejahteraan hidup, sehingga mengakibatkan tekanan emosi seperti kebimbangan dan kemurungan.

Justeru, beliau menganjurkan betapa pentingnya membina kesedaran diri ('mindfulness') dalam mendepani kesemua cabaran ini dengan satu daripadanya adalah kembali kepada agama atau kepercayaan masing-masing.

Selain itu, YB Menteri turut memberi satu lagi amaran baharu yang muncul dalam dunia maya iaitu teknologi 'deep fake' dengan kecanggihannya berupaya memalsukan suara dan imej secara digital, sehingga mengelirukan masyarakat untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan.

Beliau turut mencadangkan akan keperluan membina daya tahan digital ('digital resilience') dalam kalangan generasi akan datang dengan memasakkan pendidikan agama dan nilai moral bagi mengekang kesan-kesan negatif teknologi moden.

Dalam ucapannya juga, beliau turut menyinggung Belanjawan 2025 tempohari yang menyaksikan kenaikan peruntukan belanjawan KPT sebanyak 10.76%, daripada RM16.3 bilion kepada RM18 bilion yang akan digunakan untuk pembangunan sektor Institusi Pendidikan Tinggi negara.

Turut diumumkan sokongan YAB Perdana Menteri terhadap dua (2) buah program KPT iaitu pelaksanaan Festival of Ideas 2024 (FOI) 2024 pada bulan hadapan sebagai usaha mengangkat martabat daya cipta akademia negara; serta sambutan Hari Akademia yang akan dijadikan acara tahunan untuk memberi penghargaan kepada para akademik, sebagaimana sambutan Hari Guru.

Terdahulu, YB Menteri dan barisan tertinggi Kementerian telah turut sama mendengar syarahan bertajuk 'Buli Siber: Dunia Maya : Ancaman Nyata' yang telah disampaikan oleh Ketua Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari.

YB Menteri turut menyampaikan Sijil Pementoran Kepimpinan kepada warga KPT yang terpilih, sebelum merasmikan Bas Klinik Bergerak Universiti Malaya (UM) di pekarangan bangunan KPT.

Di samping itu, lobi KPT turut meriah siang tadi dengan pelbagai reruai pameran Hari Terbuka Psikologi yang memaparkan produk serta perkhidmatan berkaitan kesihatan mental daripada para pempamer yang diadakan bersempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat KPT yang telah dijayakan bersama Universiti Malaya. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1329
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 06 Disember 2024, 10:19:49.

logo-sirim