Anugerah MAPIM-KPT Ke-15 Iktiraf Kecemerlangan Penerbitan Ilmiah

Anugerah MAPIM-KPT Ke-15 Iktiraf Kecemerlangan Penerbitan Ilmiah

Majlis Anugerah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM-KPT) kali ke-15 yang telah disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud petang tadi mengiktiraf 41 individu yang terlibat dalam mengangkat industri penerbitan ilmiah tempatan.

Berucap kepada kesemua penerima anugerah, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menekankan kepentingan penerbitan ilmiah sebagai pemangkin perkembangan ilmu pengetahuan dan inovasi di negara ini.

Justeru, beliau menyeru agar hasil penerbitan ilmiah dinilai bukan sahaja pada output tetapi juga keberhasilannya kepada masyarakat dan negara.

“Penerbitan ilmiah memainkan peranan penting dalam menghubungkan ilmu pengetahuan dengan masyarakat, membina jaringan ilmiah kukuh serta menyebarluaskan penemuan dan idea baharu,” katanya.

Malah, beliau juga menyarankan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) secara beretika dalam penerbitan ilmiah demi kekal relevan di peringkat global.

Sebanyak 20 kategori anugerah disampaikan, merangkumi Buku Ilmiah Terbaik, Makalah Jurnal Terbaik, Reka Bentuk Buku Terbaik dan Penerbit Prolifik Terbaik. Majlis ini turut memberi penghargaan kepada individu yang pernah menerajui penerbit anggota MAPIM dalam tempoh tiga (3) tahun yang lepas.

Majlis Anugerah MAPIM-KPT ke-15 bukan sahaja mengiktiraf pencapaian dalam penerbitan ilmiah tetapi juga menyuntik semangat kepada komuniti akademik untuk terus melahirkan karya berkualiti, sekaligus meletakkan Malaysia di peta penerbitan global.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi MAPIM, En. Azman Hashim. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 239
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 12 Februari 2025, 10:29:14.

logo-sirim