ASEAN Education Forum 2025 (AEF 2025) Pupuk Kerjasama Pendidikan Serantau

ASEAN Education Forum 2025 (AEF 2025) Pupuk Kerjasama Pendidikan Serantau

ASEAN Education Forum 2025 (AEF 2025), program pendidikan tinggi serantau anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Education Malaysia Global Services (EMGS) telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di sini pagi tadi.

AEF 2025 berlangsung selama dua (2) hari dan menghimpunkan lebih daripada 90 pempamer dalam kalangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) rantau ASEAN serta melibatkan 500 pelajar mobiliti (pertukaran) dari Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

Program ini menjadi wacana penting untuk membincangkan kerjasama pendidikan dan pertukaran akademik antara negara-negara ASEAN, selari dengan tema “Inklusiviti dan Kelestarian” sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir menegaskan kepentingan mobiliti pelajar dalam memperkukuh integrasi serantau serta peranan universiti sebagai pemacu inovasi dan pembangunan sosial serta ekonomi di rantau ini.

Forum ini juga menyaksikan pemeteraian lebih daripada 20 Memorandum Persefahaman (MoU) antara universiti ASEAN bagi memperkukuh kolaborasi akademik dan penyelidikan merentas sempadan.

Sesi meja bulat yang dipengerusikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut diadakan untuk membincangkan masa depan pendidikan tinggi ASEAN dalam era digital dan globalisasi.

Dalam memperkasakan ekosistem pendidikan ASEAN, AEF 2025 turut mengetengahkan Program Mobiliti Pelajar ASEAN, yang berlangsung selama 14 hari dengan kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM).

Program ini melibatkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan ‘Young Speaker’, cabaran projek inovasi serta lawatan akademik ke institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Dihadiri lebih 5,000 orang pelawat dalam kalangan ahli akademik, pembuat dasar, pakar industri dan pelajar, AEF 2025 membuktikan komitmen Malaysia dalam mengukuhkan kedudukan rantau ASEAN sebagai hab pendidikan bertaraf dunia.

Forum ini dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama akademik dan penyelidikan yang berimpak tinggi bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan pendidikan tinggi di ASEAN. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 154
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 24 Mac 2025, 04:31:56.

logo-sirim