Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu, KPT Seru Sokongan Seluruh Rakyat Malaysia
"Saya percaya, dengan sokongan dan komitmen daripada semua pihak, kita mampu memastikan bahasa Melayu terus diperkasa sebagai bahasa ilmu dan terus dihormati di peringkat antarabangsa.
Usaha memartabatkannya sebagai bahasa ilmu tidak terletak di pundak Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sahaja, tetapi juga sokongan seluruh rakyat Malaysia, dan Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta YAB Perdana Menteri sendiri telah membuktikan komitmen masing-masing".
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di sini petang tadi.
Tambah beliau lagi, Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu di IPTA (2023-2030) adalah bukti usaha berterusan KPT dalam memperkasa bahasa Melayu, khususnya dalam pendidikan tinggi.
"Kita juga berbangga kerana tokoh-tokoh besar dalam bidang kesusasteraan dan bahasa terus mengembangkan kajian tentang bahasa Melayu, termasuk di luar negara, seperti di Perpustakaan British (British Library) serta usaha mengkaji karya-karya klasik dan manuskrip Melayu lama yang menjadi rujukan penting dalam memahami sejarah dan tamadun Melayu", ujarnya lagi.
Majlis yang telah masuk tahun ke-13 penganjuran tersebut diadakan bagi mengiktiraf pencapaian ahli akademik yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Pada tahun ini, Prof. Madya Dr. Indirawati @ Indrawati Zahid dari Universiti Malaya (UM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) 2024, mengiktiraf kepakarannya dalam bidang Semantik Leksikal, Fonetik, Fonologi, dan Pragmatik.
Selain itu, dua anugerah lain turut diberikan iaitu kepada Prof. Madya Dr. Rozita Radhiah Said dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, manakala Siti Suhaila Samian dari Politeknik Ibrahim Sultan dianugerahkan Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal.
Buat julung-julung kalinya juga, Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi turut diperkenalkan dan dianugerahkan kepada Prof. Dr. Novel Anak Lyndon (UKM) dan Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong (USM) atas sumbangan mereka dalam memperkasa bahasa Melayu.
KPT berharap pengiktirafan ini terus memotivasi ahli akademik untuk terus memperjuangkan kemartabatan bahasa Melayu di arena tempatan juga di pentas global.
"Dan, Kerajaan Madani yang kita miliki pada hari ini pastinya bertekad untuk menjayakan hasrat ini" ujar beliau.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 883