Belanjawan 2024: RM18.1 Billion PACU Kecemerlangan Pendidikan Tinggi Negara, Peluas Pendidikan AI, Tingkat R&D Dan Perkasa TVET
Bertemakan 'Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat', Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim petang tadi menyaksikan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meningkat sebanyak 10.76% kepada RM18.1 bilion berbanding tahun lalu.
Secara keseluruhan, kerajaan komited untuk meningkatkan mutu pendidikan tinggi, mendorong penyelidikan dalam Kecerdasan Buatan (AI), serta memperkasa TVET melalui pelbagai inisiatif bagi melahirkan modal insan yang berdaya saing dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.
Peka dalam memudahkan akses ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), kerajaan memperuntukan sebanyak RM4 bilion untuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan, dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC/GLIC) diseru memberikan komitmen dalam memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus biasiswa dikhususkan untuk pelajar daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah.
Melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kerajaan akan menyediakan pembiayaan pendidikan berjumlah RM500 juta khusus kepada pelajar STEM di IPT Awam ke arah melahirkan graduan dengan kebolehpasaran tinggi, sesuai dengan tuntutan industri.
Bagi menggalakkan tabungan pendidikan tinggi dalam kalangan rakyat, kerajaan bercadang untuk meneruskan insentif pelepasan cukai individu ke atas simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) PTPTN dilanjutkan untuk tempoh tiga (3) tahun lagi; serta meluaskan kriteria pemberian geran padanan di bawah Ikhtiar Geran Padanan Ihsan (GAPAI) sehingga RM5,000 ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT kepada keluarga berpendapatan sehingga RM6,000 bagi tempoh dua (2) tahun.
Tambahan kepada itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan turut melaksanakan Program Celik MADANI iaitu pembukaan akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) bernilai RM50 secara percuma kepada 100,000 pelajar baharu yang melanjutkan pengajian peringkat tinggi mulai tahun hadapan.
Prihatin dalam menjaga kesejahteraan serta menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif kepada mahasiswa, kerajaan turut memperuntukan perbelanjaan sebanyak RM635 juta bagi kerja-kerja menambahbaik prasarana, penggantian peralatan usang dan peluasan capaian Internet di kesemua Universiti Awam (UA).
Di pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula, mereka turut diberi peruntukan RM120 juta bagi menambah baik capaian Internet di UA, selain di sekolah, kem-kem tentera dan institusi MARA.
Sebagai usaha melahirkan lebih ramai jurutera dalam bidang Elektrikal dan Elektronik (E&E) bagi menyokong pertumbuhan industri semikonduktur negara, Universiti Teknologi MARA turut menerima peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membantu menjayakan hasrat tersebut.
Bagi bidang Kecerdasan Buatan (AI) pula, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi memperluaskan pendidikan AI di kesemua Universiti Penyelidikan, dengan fokus kepada bidang perubatan (Universiti Malaya), keselamatan siber dan kriptologi (Universiti Putra Malaysia), semikonduktor (Universiti Sains Malaysia) dan aktiviti penterjemahan dalam memperkasakan Bahasa Melayu (Universiti Kebangsaan Malaysia), termasuklah Fakulti AI yang sedia ada di Universiti Teknologi Malaysia.
Malah, dana aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bawah KPT dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut dinaikkan kepada RM600 juta sebagai mendorong kepada kemajuan teknologi dan daya cipta tempatan.
Dalam sektor TVET, peruntukan turut dinaikkan kepada RM7.5 bilion berbanding tahun lalu dengan keutamaan kepada pemeteraian kerjasama industri dan menyediakan peluang latihan kepada golongan rentan.
Insentif potongan cukai turut diperkenalkan untuk syarikat yang memberi sumbangan berupa peralatan dan mesin baharu kepada Politeknik, Kolej Vokasional, dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi tahun taksiran 2025-2027.
Bagi mengupayakan kira-kira 10,000 anak-anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok, peruntukan sebanyak RM55 juta akan disalurkan kepada GIATMARA dan Kolej Komuniti bagi tempoh lima (5) tahun dengan pelbagai modul latihan kemahiran.
KPT turut memainkan peranan penting mendukung rukun-rukun Malaysia MADANI kepada komuniti luar bandar dan pedalaman melalui keterlibatan Hospital Pengajar Universiti (HPU) seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya dalam menjayakan inisiatif klinik bergerak.
Selain itu, melalui projek Kampung Angkat MADANI pula, KPT akan menerima peruntukan RM100 juta yang akan disalurkan kepada UA dan institusi TVET yang lain bagi melaksanakan perkhidmatan seperti baik pulih rumah, serta pendawaian elektrik.
Belanjawan 2025 juga akan menyalurkan dana sebanyak RM10 juta kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan INCEIF University dalam meningkatkan lagi kefahaman serta pemakaian nilai-nilai universal ekonomi Islam.
Sejajar dengan dasar Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) akan memperkenalkan Program APEL.Q kepada penjawat awam yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan kos pengajian sebanyak 50 peratus atau maksimum RM15,000 akan ditanggung oleh kerajaan.
Terdahulu, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangannya, turut mengumumkan pengurangan subsidi pendidikan secara berperingkat bagi kumpulan pendapatan 15 peratus teratas yang dijangka bakal dimanfaatkan untuk usaha-usaha penambahbaikan prasarana di IPTA.
Beliau juga menyeru agar para pimpinan universiti dan ilmuan diberikan ruang dan kuasa untuk menggagaskan pembaharuan ke arah pemantapan dan peningkatan mutu agar universiti tempatan mampu bergerak pantas dalam memperkenalkan disiplin baharu yang berupaya membuka ruang kepada penerokaan pemikiran dan teknologi baharu.
Bagi pihak KPT, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dan Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud turut menghadiri pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) tersebut di Dewan Rakyat.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2932