Bengkel Pemerkasaan Siswa MADANI, Tumpu Pemahaman Gagasan Negara

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menekankan kepentingan memahami dan memaknai gagasan Malaysia MADANI dalam ucapan beliau di hadapan kira-kira 91 orang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang menyertai Bengkel Pemerkasaan Siswa MADANI di ibu negara petang tadi.
Justeru, beliau menyeru para mahasiswa untuk mengenali Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh penting dalam sejarah Malaysia.
“Sayang kalau kita tidak kenal tokoh ini dan pemikiran beliau yang menjadi asas kepada gagasan Malaysia MADANI,” ujar beliau, sambil mengimbau onak ranjau perjuangan peribadi YAB Perdana Menteri selama ini.
YB Timbalan Menteri turut menyinggung isu kebajikan pelajar, menegaskan bahawa kerajaan MADANI komited dalam membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan, khususnya dalam isu kewangan.
Beliau berkongsi pengalaman membantu seorang pelajar di Sabah yang hampir berhenti belajar kerana tidak mampu memiliki komputer riba.
“Jadi, inilah peranan anda semua sebagai mata dan telinga kepada pihak universiti dan kementerian,” tambahnya.
Dalam usaha memastikan tiada pelajar tercicir, pelbagai inisiatif disediakan, termasuk pembiayaan pendidikan untuk pelajar dari keluarga B40, program bantuan, serta melonggarkan syarat pembayaran yuran pendaftaran pelajar baharu.
Beliau juga menekankan kepentingan kecemerlangan akademik untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.
Program ini berjaya menjadi platform penting dalam menyemai semangat kenegaraan dan kefahaman tentang gagasan Malaysia MADANI dalam kalangan mahasiswa, selaras dengan aspirasi negara untuk membina tamadun yang cemerlang.
Hadir sama Penolong Pengarah, Seksyen Institusi Pengajian (Bahagian Belia dan Institusi Pendidikan), Akademi Kenegaraan Malaysia, Mohd Amizie Mohd Salleh; serta Pengerusi MADANI Research Centre, Dr. Madhi Hasan.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 420