Bestari Bantu IPTA Bangun Bakat Kepimpinan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memperkukuh pembangunan kepimpinan dalam sektor pendidikan tinggi dengan memperkenalkan Inisiatif Penilaian dan Pelaporan Tahap Asas Kompetensi Bakat (BeSTARI - Bench Strength Talent Assessment and Reporting Initiative).
Majlis pelancaran yang berlangsung di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) petang tadi telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, bersempena Program KARISMA Pemikir MADANI Siri 5.
Inisiatif BeSTARI diperkenalkan sebagai sebuah sistem penilaian kompetensi kepimpinan berpiawai yang bertujuan untuk merancang pembangunan bakat secara sistematik, telus, dan berstruktur.
Sistem ini akan membantu Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam mengenal pasti serta membantu bangunkan bakat kepimpinan dengan lebih menyeluruh dan strategik.
Pelaksanaan BeSTARI dijangka memberi impak besar dalam membentuk Kolam Bakat Kepimpinan IPT, yang terdiri daripada individu berpengalaman dan terlatih dalam aspek kepimpinan.
Setiap calon akan dinilai berdasarkan kompetensi yang selaras dengan keperluan institusi, sekali gus memastikan kesinambungan kepimpinan yang mantap dan berkualiti.
Selain itu, sistem ini juga menjamin nisbah penggantian kepimpinan yang terancang, bagi memastikan institusi mempunyai jumlah pemimpin yang mencukupi dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab dengan cekap.
Menurut YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry, pelaksanaan inisiatif ini selari dengan objektif Program KARISMA, yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat kepimpinan dalam kalangan pemimpin pendidikan tinggi.
Program ini bukan sahaja menyediakan platform bagi pendaftar, pengarah, pengurus bakat, dan pensyarah muda untuk membina jaringan strategik, malah turut memperkukuh kompetensi kepimpinan mereka.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan kepimpinan yang tersusun dan sistematik akan memastikan pelaksanaan pelan penggantian kepimpinan yang lestari, berkualiti, dan berintegriti dalam institusi pendidikan tinggi.
Dengan pelaksanaan BeSTARI, sektor pendidikan tinggi negara dijangka akan menjadi lebih berdaya saing, melahirkan pemimpin yang bukan sahaja memiliki kemahiran kepimpinan yang kukuh, tetapi juga visi yang jelas dalam memacu kecemerlangan institusi ke tahap lebih tinggi.
Siri kelima Program KARISMA ini telah disertai oleh lebih 200 peserta, terdiri daripada Pendaftar, Pengarah/Pengurus Bakat, serta Pensyarah Muda dari 20 Universiti Awam (UA) dan Jabatan Pendidikan Politeknik serta Kolej Komuniti (JPPKK).
Hadir sama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, serta Pengarah AKEPT, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 467