CoC Bersama Rakan Industri Manfaat Lebih 3,900 Penuntut Politeknik Kota Kinabalu

CoC Bersama Rakan Industri Manfaat Lebih 3,900 Penuntut Politeknik Kota Kinabalu

Sebentar tadi YB Senator Dato' Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah menyempurnakan majlis menandatangani Certificate of Collaboration (CoC) Siri 2 di antara Politeknik Kota Kinabalu (PKK) bersama 9 rakan industri daripada pelbagai sektor dalam bidang kejuruteraan, perbankan, keusahawanan, pelancongan serta hospitaliti.

Kolaborasi ini merangkumi perkongsian kepakaran dan pelbagai usaha sama yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak di samping dapat membuka peluang kepada penuntut PKK untuk menjalankan latihan industri dan projek tahun akhir bersama rakan industri berkenaan.

CoC ini jua sekali gus dapat membuka peluang kepada rakan industri untuk memilih graduan yang berpotensi dan kompeten untuk terus diserap berkhidmat dalam agensi masing-masing. Dijangka kolaborasi ini akan memberi manfaat kepada lebih 3,900 penuntut Politeknik Kota Kinabalu sehingga tahun 2025.

YB Timbalan Menteri dalam ucapannya berkata, rakan industri sangat penting dalam menghasilkan graduan TVET yang berkemahiran tinggi kerana kepakaran yang dikongsikan dan dimiliki oleh rakan industri dapat membantu pelajar TVET mencapai tahap kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semasa.

“Melalui kolaborasi seperti ini, negara kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, merapatkan jurang antara kualiti graduan dan keperluan industri, serta menjadikan TVET sebagai pilihan utama pelajar,” katanya.

Turut hadir Ts. Zainab Othman, Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya, JPPKK dan Encik Dulah Muluk, Pengarah PKK.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2963
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.