Dermasiswa B40 TVET, Galak Pelajar B40 Pilih TVET

Dermasiswa B40 TVET, Galak Pelajar B40 Pilih TVET

Bagi meningkatkan motivasi dan galakan pelajar untuk memilih bidang TVET, kerajaan telah melaksanakan Program Dermasiswa B40 TVET, khusus untuk pelajar dari kumpulan B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET.

YBhg Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar, Ketua Setiausaha KPT berkata, program dermasiswa ini dapat menawarkan banyak peluang kepada rakyat Malaysia membina kerjaya dalam bidang TVET selaras dengan usaha Kerajaan untuk memastikan 55% pelajar lepasan SPM menyambung pengajian dalam bidang TVET menjelang tahun 2025.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pejumpaan Bersama Penerima Dermasiswa B40 TVET dari kalangan 36 orang pelajar Politeknik Kota Kinabalu di sini hari ini.

DS KSU menambah, program ini dirangka melalui model dermasiswa agar pelajar tidak dibebankan dengan keperluan membayar balik apabila telah tamat pengajian kelak.

Pendekatan ini juga bertujuan mewujudkan ekosistem pengajian yang kondusif kepada para pelajar B40 ini supaya dapat menyempurnakan pengajian tanpa perlu memikirkan bebanan kewangan untuk menampung yuran pengajian dan kos sara hidup.

Untuk tujuan ini, Kerajaan mengunjurkan peruntukan kewangan sebanyak RM36.41 juta bagi setiap ambilan seramai 1,000 pelajar.

Daripada jumlah itu, seramai 67 anak-anak Sabah dari IPT di seluruh negara telah berjaya dipilih untuk menerima dermasiswa ini pada pengambilan pertama tahun ini.

Turut hadir YBhg Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, TKSU (Dasar), YBrs Puan Mazlina Mokhtar, SUB Biasiswa KPT, dan YBrs Encik Dullah Muluk, Pengarah Politeknik Kota Kinabalu.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5287
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 29 Mac 2024, 08:50:00.