Dialog Meja Bulat Naib Canselor 2024, Perkukuh Kerjasama Pendidikan Tinggi Malaysia-Amerika Syarikat

Malaysia dan Amerika Syarikat terus mengukuhkan hubungan dalam bidang pendidikan tinggi melalui Dialog Meja Bulat Naib Canselor A.S.-Malaysia 2024, sebuah program yang menandakan komitmen strategik kedua-dua negara untuk mengantarabangsakan sektor pendidikan.
Program ini dianjurkan oleh Suruhanjaya Malaysia-Amerika untuk Pertukaran Pendidikan (MACEE) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia.
Dialog ini berjaya menghimpunkan naib-naib canselor daripada 25 buah universiti awam dan swasta tempatan, bersama tokoh-tokoh utama dalam sektor pendidikan, termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, serta Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, TYT Edgard D. Kagan.
Kehadiran mereka melambangkan usaha berterusan untuk meningkatkan kolaborasi akademik antara kedua-dua negara dalam usaha memperkukuh pusat kecemerlangan, memperluas pemindahan teknologi, dan membangunkan bakat tempatan.
Hadir merasmikan program serta menyampaikan ucaptamanya, YB Menteri menyatakan harapan bahawa program ini akan terus "memperkuat hubungan antara Malaysia dan AS dalam bidang pendidikan".
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Program Fulbright, yang diterajui oleh MACEE, kerana telah memainkan peranan penting dalam inisiatif pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia.
Sejak diperkenalkan 67 tahun lalu, lebih daripada 1,000 rakyat Malaysia dan 2,000 rakyat Amerika telah mendapat manfaat daripada program ini, yang terus menjadi pemangkin kepada jaringan akademik dan pertukaran ilmu yang lebih mendalam.
Beliau turut menyeru Institusi Pendidikan Tinggi untuk "memanfaatkan kuasa kolaborasi" dalam mencipta inovasi baru dan meningkatkan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Pada majlis yang sama, majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara 13 universiti awam dan swasta Malaysia bagi kohort 2024 telah turut dimeterai bagi membuka lebih banyak peluang mobiliti akademik; serta aktiviti penyelidikan bercirikan inovatif yang bermanfaat kepada masyarakat dan ekonomi Malaysia.
YB Menteri mengakhiri ucapannya dengan keyakinan bahawa, "Dialog ini akan mengukuhkan hubungan institusi dan membuka peluang baharu untuk kolaborasi," serta berharap agar hubungan yang terjalin antara Malaysia dan Amerika Syarikat akan "membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara".
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 666