eDOLA 2024: Memperkasa Pendidikan Melalui Kecerdasan Buatan

Transformasi digital, terutamanya dalam bidang pendidikan, yang pesat masa kini membolehkan pengguna mengakses kepada pelbagai maklumat biarpun hanya dengan sebuah telefon pintar.
Jelas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir lagi, ledakan teknologi yang sedang melanda seluruh dunia ini turut merubah cara manusia menuntut ilmu dan juga berkomunikasi.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ujarnya, sedang memainkan peranan yang penting dalam mempersiapkan Malaysia menghadapi tantangan dan peluang dibawa oleh perkembangan pesat teknologi digital tersebut.
Beliau yang hadir menyempurnakan Pertandingan CIDOS Inspiring Learning Awards (eDOLA) 2024 anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di sini malam semalam, turut menjelaskan bahawa pengaruh teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) telah memberi impak baharu dalam memperoleh pengetahuan.
Justeru, penganjuran eDOLA 2024 yang merupakan edisi kali ke-12 malam tadi mensasarkan usaha dalam memperkenalkan teknologi pendidikan berasaskan AI kepada pelajar dan pensyarah di politeknik serta kolej komuniti turut mendapat pujian daripada YB Menteri.
Hasil daripada penganjuran pertandingan ini juga, warga Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang terdiri daripada pensyarah, pelajar dan juga staf sokongan telah bersama-sama menggembleng tenaga untuk menghasilkan produk video pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi pengajaran menggunakan teknologi aplikasi AI.
Pada malam tadi juga, beliau telah merasmikan ‘POLYCC Artificial Intelligence Reform Agenda’, iaitu sebuah dokumen yang bertujuan memperkukuhkan digitalisasi dalam proses PdP di POLYCC.
Melalui reformasi ini, teknologi Kecerdasan Buatan (AI) akan digunakan secara menyeluruh untuk memperibadikan pembelajaran, menyediakan analisis data, serta meningkatkan kecekapan pendidikan di Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC).
Hadir sama Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), YB Tuan Syed Ibrahim Syed Noh; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato' Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; Pengarah Urusan Sektor Awam Rantau ASEAN, Amazon Web Service, Eric Conrad; serta para pengarah JPPKK dan POLYCC seluruh negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1513